GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Stockholm: Dianggarkan 300,000 rakyat Sweden mempunyai masalah pada deria bau akibat Covid-19, menurut agensi berita negara itu, TT News Agency, pada Ahad.

Menurut laporan itu, berlaku kesesakan di klinik yang menawarkan perkhidmatan pemulihan deria bau, lapor Xinhua.

Dengan populasi 10 juta orang, Sweden hanya ada dua klinik baharu untuk perkhidmatan berkenaan yang dibuka pada September lalu di Hospital Universiti Karolinska di Huddinge, berhampiran pusat bandar.

"Kami terima pesakit dari seluruh Sweden dan saya dihubungi banyak pihak," kata Juruanalisis Bioperubatan di Universiti Lund, Charlotte Cervin-Hoberg seperti dipetik Norway Today.

Klinik berkenaan merawat masalah kehilangan deria bau disebabkan penyakit lain seperti jangkitan, kecederaan kepala dan penyakit neurologi.

Namun kini, kebanyakan pesakit yang menerima rawatan disebabkan Covid-19.

Mereka yang dijangkiti Covid-19 juga dilaporkan mengalami masalah hilang deria bau dan rasa.

Eva Hoglund yang dijangkiti virus itu pada April tahun lalu memaklumkan hanya aiskrim vanila yang dapat dirasainya, manakala makanan lain terasa seperti puntung rokok dan daging busuk.

"Saya lihat strawberi dan baunya sangat tidak menyenangkan lalu saya buang buah itu," katanya.

Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan Agensi Kesihatan Awam Sweden pada Jumaat, hampir 1.16 juta kes Covid-19 dikesan sejak pandemik bermula.

Daripada jumlah itu, s 15,000 kematian direkodkan.

Negara itu kini mengalami peningkatan kes baharu sejak kelonggaran peraturan pada 30 September lalu, antaranya berhubung penyertaan terhad orang ramai di kawasan umum dan restoran.

Nasihat pemakaian pelitup muka dan bekerja dari rumah masih dilaksanakan, namun sehingga kini tiada rancangan mengetatkan kembali peraturan.

Bagaimanapun, beberapa peraturan lain masih berkuat kuasa walaupun ini dilonggarkan pada 1 November, dengan mereka yang belum divaksin dinasihatkan mengambil langkah pencegahan sama seperti sebelum ini.

Sweden, yang memilih tidak melaksanakan sekatan pergerakan sepanjang pandemik, merekodkan jumlah kes, kematian dan kemasukan pesakit ke hospital yang rendah, berbanding negara Eropah lain.

Sebanyak 84.7 peratus populasinya yang berusia 16 tahun ke atas menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 80.1 peratus pula lengkap menerima dua dos vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 6:00 AM