BTS kembali dengan lagu baharu, Dynamite.
BTS kembali dengan lagu baharu, Dynamite.
Georgie Joseph


KERANCAKAN kerjaya kumpulan BTS dari Korea Selatan sememangnya tidak berpenghujung.

Tampil dengan lagu terbaharu berjudul Dynamite, mereka menambah koleksi diskografi untuk dinikmati semua terutama kelab peminat mereka, ARMY.

Sebagaimana cukup dekat dengan kumpulan RM, Jin, SUGA, j-hope, Jimin, V dan Jung Kook, mereka terus mempertaruhkan konsep riang serta berwarna-warni dalam karya itu. Baik pada melodi, bait lirik atau video muziknya.

Semestinya ARMY paling seronok apatah lagi setiap saat mereka mendambakan karya baharu daripada kumpulan fenomena ini. Jelas, hari-hari mereka terisi dengan pelancaran lagu berkenaan yang sangat menarik konsepnya.

Menyuntik elemen retro daripada prop digunakan hingga gaya rambut setiap anggotanya, video muzik yang dimuat naik di YouTube serta-merta mendadak tontonannya.

Dalam tempoh sejam, angka tontonan sudah melepasi 20 juta.

Ia sekali gus membuktikan kuasa pengikut BTS di seluruh dunia tidak boleh dipandang enteng. Tanda sokongan diberikan kepada mereka tidak berbelah bahagi, malah sebenarnya cukup luar biasa untuk ditandingi mana-mana artis lain di seluruh dunia.

Sekali lagi mereka menampilkan hasil karya yang keseluruhannya berada pada tahap mengagumkan. Penggunaan pelbagai lokasi dengan elemen berbeza cukup menjadikan video muzik itu berwarna.

Ditambah pula dengan corak tarian yang sememangnya tidak dinafikan kemas dan bertenaga, sekali gus lagu itu menggetarkan hati siapa saja yang mendengar.

Begitulah penangan aura yang sentiasa membuatkan peminat kian jatuh cinta kepada mereka.

Terdahulu, kumpulan terbabit dan agensinya berterusan mencuit hati peminat dengan bayangan lagu baharu. Akhirnya ia dilancarkan juga, baru-baru ini berserta video muziknya sekali yang diarahkan Yong Seok Chai.

Tidak ketinggalan, BTS juga mengumumkan mengenai konsert akan datang mereka September ini berjudul Break the Silence: The Movie.

Pastinya, mereka sudah tidak sabar untuk mempersembahkan Dynamite secara langsung pula.

Mereka juga sudah mengesahkan akan membuat persembahan lagu itu di Anugerah Muzik Video MTV 2020 pada 31 Ogos ini.

Turut menghiburkan penonton pada acara itu adalah Miley Cyrus, Lady Gaga, The Weeknd, J Balvin, Maluma, Roddy Ricch, Doja Cat dan CNCO.

Acara terbabit akan dilangsungkan di beberapa lokasi luar. MTV VMA 2020 asalnya dijadualkan diadakan di Barclays Center, New York, namun dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Bulan lalu, BTS turut diumumkan Guinness World Records (GWR) mencipta rekod baharu menerusi pencapaian konsert virtual berbayar mereka yang berlangsung pada 14 Jun lalu.

Rekod itu diberikan selepas konsert virtual berjudul Bang Bang Con : The Live mendapat jumlah tontonan paling tinggi iaitu lebih 756,000 dari 107 negara seluruh dunia. GWR mengesahkan sendiri angka berkenaan sebelum mengiktiraf rekod baharu dicipta BTS itu.

Konsert berdurasi hampir dua jam yang dipancarkan dari sebuah studio di Seoul, Korea Selatan itu diumumkan menjadi konsert berbayar paling berjaya dari segi tontonan. BTS mempersembahkan 12 lagu dalam konsert
itu.

Walaupun sekadar berlangsung dalam studio, konsert terbabit mendapat pujian dari pelbagai aspek termasuk pementasan produksinya yang mengagumkan. Ibarat konsert sebenar, pentasnya dibuat begitu teliti dengan menampilkan pelbagai tema berbeza di ruang berlainan.

BTS sepatutnya mengadakan siri jelajah, Map of the Soul tahun ini, namun tarikh yang dijadualkan pada April hingga September terpaksa ditunda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 6:45 AM