Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama anaknya, Siti Aafiyah.
Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama anaknya, Siti Aafiyah.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui tidak percaya apabila dapat menyiapkan album lagu kanak-kanak iaitu Legasi ketika dia sarat hamil anak kedua dengan usia kandungan lapan bulan.

Siti, 42, berkata album yang dilancarkan pada 1 April lalu itu sesuai untuk kanak-kanak bermula dari pemilihan lagu, warna kulit album dan video muzik.

"Walaupun bergelar penyanyi profesional, tetapi saya yakin kita semua bermula dengan mendengar serta menyanyikan lagu pada zaman kanak-kanak dahulu.

"Macam tak percaya pula walaupun sudah hamil lapan bulan ketika itu, saya dapat menyiapkan juga album kanak-kanak, Legasi, khas untuk anak-anak generasi kini.

"Album ini datang dengan pakej yang sesuai untuk anak-anak, pilihan lagu, warna kulit album, video muzik kerana sasaran saya kali ini adalah untuk menambat hati anak-anak generasi kini mencintai lagu yang tak lapuk dek zaman," katanya.

Menurut Siti yang dijangka bersalin anak lelaki tidak lama lagi, dia gembira apabila album itu mendapat maklum balas baik daripada ibu bapa dan peminat.

"Saya gembira kerana mendapat respon yang baik daripada ibu bapa apabila anak-anak mereka menonton video muzik dan dapat menyuntik aktiviti, emosi, gaya bahasa dan inilah yang saya harapkan daripada mereka.

"Album Legasi boleh dilanggan di semua platform digital. Ini bukan album bersifat semusim, saya mahu album ini akan menjadi satu bahan rujukan juga satu hari nanti. Seni dan muzik juga ada tanggungjawab kepada bangsa mereka dan inilah yang sedang saya usahakan.

"Jika ada ibu bapa yang mahu menghadiahkan anak-anak mereka atau anak-anak sahabat mereka, boxset album Legasi, nantikan sedikit masa lagi," katanya.

Untuk album ini, Siti menghasilkan dua video muzik iaitu Medley Klasik Siti 1 yang sudah ditayangkan di saluran Youtube Siti Nurhaliza dan lagu baharu yang ditujukan khusus untuk anak yang bakal dilahirkannya berjudul Anakanda.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 8:35 AM