Baha (dua dari kiri) ketika menganggotai kumpulan Vagrant pada 1990.
Baha (dua dari kiri) ketika menganggotai kumpulan Vagrant pada 1990.
Riadz Radzi

PENYANYI kumpulan rock era 1990-an, Vagrant iaitu Baha, 58, kini bertarung nyawa apabila disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat, baru-baru ini.

 

Baha atau nama sebenarnya Baharuddin Amin Abu Bakar kini hanya berehat di rumahnya di Port Dickson, Negeri Sembilan selepas beberapa kali dimasukkan ke hospital sejak 12 April hingga Isnin lalu.

 

Anak sulungnya, Danil Faizal Baharuddin Amin, 33, berkata, bapanya mengalami batuk berterusan sejak tiga bulan lalu dan pada awalnya disyaki menghidap tibi.

 

"Satu hari dia mengadu sukar bernafas dan dibawa ke Hospital Port Dickson. Doktor kemudian melakukan ujian 'CT Scan' dan mendapati ada ketumbuhan sepanjang 3.6 sentimeter di paru-parunya.

 

"Dia kemudian dimasukkan ke hospital pada 14 April lalu dan doktor mengesahkan kansernya sudah merebak. Dia juga sukar bernafas dan perlu menggunakan mesin bantuan pernafasan. Ayah juga tidak boleh makan seperti biasa dan kini hanya boleh minum susu menggunakan tiub sahaja," katanya.

 

Danil berkata, sejak itu bapanya beberapa kali dimasukkan ke hospital. Ada satu ketika selepas dua hari dibenarkan keluar dari hospital, dia ditahan semula selepas mengalami kesukaran bernafas.

 

"Dia dibenarkan keluar hospital Isnin lalu dan diberi ubat penahan sakit," katanya.

 

Selain Baha, Vagrant turut dianggotai Kiya (gitar), Nawen (bass) dan Den (dram). Album pertama mereka berjudul Vagrant dipasarkan pada 1990 dan popular dengan lagu Kerana Takdir.

 

Selepas itu mereka muncul dengan dua lagi album iaitu Pelangi Sutera pada 1993 dan Tradisi (1996).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 10:07 PM