BAKI Zainal. FOTO NSTP
BAKI Zainal. FOTO NSTP
Georgie Joseph

 

PENGACARA Baki Zainal kecewa apabila masih ramai mengambil remeh soal keselamatan diri dan seolah-olah tidak takut dengan penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Baki berkata, situasi itu dilihatnya ketika berkunjung pasar raya untuk membeli barang keperluan dapur, baru-baru ini.

“Penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter yang disarankan kerajaan seperti tidak wujud. Orang saling menolak troli sambil bahu bersentuhan dan tidak datang keseorangan,” katanya.

Lebih mengecewakan Baki adalah sikap berkenaan bukannya ditunjukkan golongan kanak-kanak sebaliknya orang dewasa.

“Saya rasa sangat marah dan jiwa kacau. Yang saya lihat itu bukannya kanak-kanak. Juga bukan orang yang tidak waras. Rata-ratanya golongan dewasa yang matang dan sepatutnya lebih arif membezakan yang baik atau buruk,” katanya.

Baki juga menyeru orang ramai supaya tidak cepat meraikan berita pengurangan statistik jangkitan Covid-19 dalam negara.

“Sebagai satu negara, kita korbankan sumber pendapatan, kehidupan normal dan mangsa terkorban untuk memerangi virus ini.  

“Memang sejak beberapa hari ini bilangan kes positif sudah menurun tetapi ia tidak bermakna kita harus campak begitu saja usaha ramai disebabkan sikap tidak endah kita. Ya, pakai topeng muka, sarung tangan dan sanitasi memang agak menyusahkan tapi itulah rutin normal kita patut terima selepas ini,” katanya.

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 5:59 PM