KENDERAAN di Jalan Lintas Luyang, semalam berikutan bermulanya kebenaran pergerakan rentas daerah mengikut zon di Sabah. FOTO Bernama
KENDERAAN di Jalan Lintas Luyang, semalam berikutan bermulanya kebenaran pergerakan rentas daerah mengikut zon di Sabah. FOTO Bernama
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Penduduk daerah kategori 'stand-alone district' yang mencapai sasaran 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin Covid-19 dibenarkan merentas daerah dalam kawasan mengikut zon secara automatik.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, pelaksanaan sistem rentas daerah mengikut zon yang bermula hari ini merupakan kelonggaran yang diberi dalam membantu meningkatkan semula ekonomi rakyat.

"Dari masa ke masa, kerajaan negeri akan mengkaji dan menilai semula prestasi imunisasi di daerah yang belum mencapai 60 peratus jumlah penduduk yang lengkap divaksin.

"Daerah yang berjaya mencapai sasaran tersebut dengan sendirinya melayakkan penduduk bergerak dalam kawasan zon yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada Khamis lalu, Masidi mengumumkan 18 daerah di Sabah beralih ke sekatan pergerakan mengikut zon yang dibahagikan kepada lima zon.

Baki sembilan daerah lagi kekal dikenakan sekatan rentas daerah adalah Kinabatangan, Telupid, Tongod, Sandakan, Kalabakan, Tawau, Papar, Semporna dan Nabawan.

Menurutnya, sembilan daerah terbabit tidak dimasuk dalam mana-mana zon kerana belum mencapai tahap 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19.

Sementara itu, Masidi turut berkata, secara kumulati, 2,304,020 penduduk Sabah menerima vaksin dos pertama setakat 30 September.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 11:02 AM