RAYQA bersama ibunya, Syira.
RAYQA bersama ibunya, Syira.
Sudirman Mohd Tahir

PELAKON kanak-kanak, Puteri Rayyana Rayqa, 6, dan ibunya, Syira yang disahkan positif Covid-19 pada 9 April lalu berharap dapat menjalani ibadah puasa di rumah.

Syira berkata, buat masa ini mereka masih menunggu hasil ujian swab kedua yang dibuat pada 20 April lalu.

“Saya dan Ayqa masih di Hospital Sungai Buloh. Kami kini menunggu hasil ujian swab kedua. Saya berdoa semoga ia disahkan negatif sekali gus bebas wabak ini.

“Kami sudah kemaskan barang  dan berharap dapat balik. Mungkin esok pagi hasil ujian keluar. Jika negatif, kami akan dibenarkan pulang sama ada petang atau malam esok. Doakan kami semoga semuanya dipermudahkan. Kita pun sudah nak berpuasa dan kalau boleh biarlah di rumah,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai keadaan kesihatan diri dan anaknya, Syira berkata mereka sihat.

“Alhamdulillah, saya sihat. Tidak ada demam dan gejala lain Cuma Ayqa, pada awal dimasukkan wad dia batuk secara ‘on off’ tapi tidak berterusan. Sekarang sudah tiada lagi,” katanya.

Terdahulu, Rayqa disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari menjalani penggambaran drama Demi di Inverness, Scotland pada 31 Mac lalu.

Turut positif wabak itu ialah ibunya yang menemaninya sepanjang terbabit dalam penggambaran itu di sana.

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 4:21 PM