GBOB atau nama sebenarnya Mohd Hamizi Hashim (tengah) terjatuh dalam bilik air.
GBOB atau nama sebenarnya Mohd Hamizi Hashim (tengah) terjatuh dalam bilik air.
Ridzuan Abdul Rahman


BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itu yang dialami bekas peserta Raja Lawak 5, Gbob, 33, yang kini masih dalam keadaan separuh sedar selepas seminggu menjalani pembedahan membuang darah beku di bahagian kepala di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Gbob atau nama sebenarnya Mohd Hamizi Hashim terjatuh dalam bilik air di rumahnya akibat angin ahmar sekitar jam 1 pagi pada 5 Mac lalu dan disahkan mengalami pendarahan dalam otak. Dia kemudian dibawa ke Hospital Serdang dan dipindahkan ke HKL untuk pembedahan.

Situasi terkini kesihatannya mengundang simpati Che Mat, rakannya dalam kumpulan OnXOn yang menyertai Maharaja Lawak Mega 2019 serta Amir Raja Lawak yang menghasilkan video khas bagi memohon bantuan berupa sumbangan wang ringgit buat Gbob.

“Kami sahabat-sahabat Gbob @jibob_official dengan rendah hati ingin memohon bantuan sumbangan dari anda semua. Kami sangat sedih melihat keadaannya sekarang,” katanya.

Menurut mereka, walaupun belum sedar sepenuhnya, Gbob dijangka akan dibenarkan keluar dari hospital dalam beberapa hari dan perlu menjalani rawatan di rumah.

“Banyak kos diperlukan nanti. Untuk susu sahaja, dia perlukan RM50 sehari dan ia tak termasuk kos-kos lain lagi. Banyak lagi benda nak kena disediakan seperti katil, susu, pengangkutan, mandian dan lain-lain lagi.

“Insya-Allah katil dan pengangkutan kami dah ikhtiar cara untuk dapatkan, cuma kos-kos lain kami masih perlukan sumbangan wang daripada anda semua,” kata mereka.

Che Mat dan Amir juga merayu supaya semua pihak menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga Gbob.

Sementara itu isterinya, Siti Aisyah Wahiddin, 38, menerusi perkongsian di Facebook Ct Chah berkata, kejadian yang berlaku adalah sesuatu yang mengejut dalam keluarga mereka.

“Suami saya kena strok pendarahan dan masih dalam keadaab separuh sedar di hospital. Dalam masa terdekat ini mungkin suami saya perlu discaj dan penjagaannya diteruskan di rumah.

“Oleh kerana kurang pengetahuan dalam bidang perubatan ini, saya memohon pendapat dan tunjuk ajar daripada anda yang mungkin berpengalaman.

“Sudi kiranya berkongsi bagaimana saya ingin mendapatkan bantuan kelengkapan hospital seperti tilam angin, kerusi roda, katil pesakit, mesin sedut kahak dan segala yang diperlukan oleh pesakit strok. Saya memang tak tahu dan benar-benar mengharapkan bantuan anda semua yang sudi,” tulisnya.

Siti Aisyah sebelum ini memberitahu, anak mereka Nur Humairah, 2, amat merindui bapanya dan sering bertanya dimanakah dia.

Dalam kerjayanya, Gbob pernah membintang filem Halim Munan, Strawberi Cinta dan Operasi X serta pelbagai drama antaranya Nasi Minyak Kuah Cinta dan Bila Hati Berbisik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 10:18 AM