TINJAUAN di Lorong Haji Taib, Chow Kit mendapati peniaga kaki lima menghalang lalu lintas.
TINJAUAN di Lorong Haji Taib, Chow Kit mendapati peniaga kaki lima menghalang lalu lintas.
Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik


MALAYSIA sudah melangkah ke tahun 2020 namun apa yang menyedihkan masih wujud penjaja kaki lima yang mencacatkan pemandangan serta menghalang laluan di sekitar ibu negara.

Bukan menafikan hak mereka mencari rezeki, namun yang menjadi pertikaian kumpulan penjaja ini bukan sahaja tidak memiliki lesen perniagaan, malah turut membuat penyambungan haram bagi mendapatkan bekalan elektrik dari premis berdekatan semata-mata untuk kepentingan sendiri.

Selain itu, susun atur meja yang terlalu padat serta menghalang laluan utama keluar masuk ke premis berhampiran juga mendedahkan orang ramai kepada risiko ancaman keselamatan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini termasuk kebakaran.

Tinjauan wartawan di sekitar kawasan tumpuan perniagaan di Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, mendapati sebahagian besar peniaga di situ warga asing yang menjual barangan seperti pakaian, beg dan aksesori telefon bimbit di bahagian luar pusat perniagaan hingga menghalang lalu lintas.

Peniaga, Mohamad Saidun Mohamad, 22, berkata, keadaan yang berlaku sebelum Ramadan lalu menyebabkan premis perniagaan mereka terlindung serta pelanggan berkurangan.

“Sebelum ini kami mampu menjual 80 ayam sehari, sekarang hanya 30 sahaja, sekali gus menyebabkan perniagaan restoran kami merudum 70 peratus.

“Tahun ini sahaja kami buat hampir 20 aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun saya dimaklumkan peniaga kaki lima itu mendapat lesen penjaja kecil.

“Saya pelik bagaimana semudah itu mereka mendapatkan lesen sedangkan kami pemilik premis perlu membayar cukai taksiran RM30,000 setahun, ini tidak adil buat kami,” katanya.

Pemilik perniagaan pengurup wang asing Zahidah Syed Mohamad, 34, berkata, tindakan penjaja itu membuat penyambungan haram dikhuatiri mengancam keselamatan pelanggan dan pemilik premis.

“Sudah dua kali insiden litar pintas elektrik berlaku di premis kami gara-gara mereka menarik wayar dari sumber utama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Ia bukan sahaja menjejaskan perniagaan kami apabila semua transaksi tidak dapat dilakukan, malah apa yang membimbangkan keselamatan nyawa semua peniaga dan pelanggan,” katanya.

Peniaga, Fahim Anwar Ali, 36, meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan kumpulan penjaja kaki lima itu di kawasan khusus yang lebih sempurna dan tidak mengganggu laluan premis perniagaan sedia ada.

“Kita sama-sama cari makan, tetapi biarlah cara yang betul, jangan sampai membunuh periuk nasi kami apabila kehadiran mereka menutup laluan pelanggan ke premis kami.

“Justeru, kita mahu pihak berkaitan mewujudkan kios untuk mereka berniaga di satu kawasan khusus seperti Jalan Masjid India yang lebih moden dan teratur.

“Cadangan ini mungkin boleh dibincangkan lebih teliti dengan semua pemegang taruh bagi memastikan semua pihak menikmati situasi menang-menang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 7:01 AM