HAFREEZ sudah bersedia berkahwin. Foto - Arkib NSTP.
HAFREEZ sudah bersedia berkahwin. Foto - Arkib NSTP.
Sudirman Mohd Tahir


“BELUM lamar pun. Ia cuma hadiah hari jadi saja. Cincin itu pun bukan sebagai tanda apa-apa,” kata pelakon Hafreez Adam mengenai pemberian cincin kepada kekasihnya yang juga pelakon, Zara Zya seperti dimuat naik di Instagram semalam.

Hafreez, 28, atau nama sebenarnya Hafreez Adam Aizat Zahalan berkata, hadiah itu sengaja diberikan lewat dari tarikh hari jadi Zara yang ke-33 iaitu pada 22 Oktober lalu.

Menurut Hafreez, cincin itu juga sempena genap setahun hubungan percintaan mereka.

“Ia bukan cincin merisik, bertunang atau apa pun. Ia sempena hari jadi Zara pada 22 Oktober lalu. Tetapi, saya sengaja bagi lambat supaya dia tak boleh nak jangka.

“Makan malam semalam pun dia tak tahu saya akan buat kejutan untuknya. Dia ingat makan malam biasa, cuma saya suruh dia pakai cantik-cantik.

“Hadiah ini saya anggap pemberian yang cukup istimewa apatah lagi bulan ini genap setahun perhubungan kami. Jadi, tak salah kalau saya nak belanja lebih sikit untuk orang tersayang,” katanya kepada Harian Metro.

ZARA sudah setahun bercinta dengan Hafreez
ZARA sudah setahun bercinta dengan Hafreez

Ditanya mengenai hubungan mereka, Hafreez yang juga pelakon drama Monalisa berkata, dia sudah bersedia untuk membawa hubungan mereka ke fasa serius iaitu berkahwin.

Bagaimanapun, Hafreez tidak mahu terburu-buru kerana perlu mengambil kira jadual kerja kekasihnya.

“Saya sudah berjumpa keluarga Zara. Malah, bapanya pernah cakap kalau betul nak kahwin hantar rombongan dan ikut adat.

“Bahagian saya pula, kalau boleh nak terus nikah. Tetapi, dalam soal ini saya tak boleh pentingkan diri sendiri. Saya kena tanya pandangan kedua belah pihak.

“Saya dan Zara selalu juga bercakap soal ini. Cuma, buat masa sekarang, jadual Zara sibuk hingga Februari tahun depan. Jadi, mustahil untuk buat majlis dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 4:47 PM