JOSIAH tidak kisah sama ada akan mendapat anak lelaki atau perempuan nanti. FOTO Mahzir Mat Isa
JOSIAH tidak kisah sama ada akan mendapat anak lelaki atau perempuan nanti. FOTO Mahzir Mat Isa
Ramlah Zainal


PELAKON terkenal Josiah Hogan mengakui dia sangat teruja menanti detik kelahiran anak keempatnya yang dijangka dilahirkan pada Aidilfitri tahun depan.

Menurut Josiah atau nama Islamnya Mohamad Musleh, 33, buat masa ini, kandungan isterinya, Nurul Hidayu Noordin juga sudah mencecah tiga bulan.

“Alhamdulillah, kandungan isteri juga sihat setakat ini tetapi perlu lebih berhati-hati kerana masih peringkat awal kehamilan.

“Walaupun sudah memiliki tiga anak, saya tetap tidak sabar menanti kelahiran anak keempat ini.

“Terus terang, saya dan isteri juga tidak sabar melihat wajah anak kacukan kami ini sama ada dia akan mewarisi wajah saya atau isteri bila dilahirkan nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas soal jantina pula, kata pelakon berdarah kacukan Amerika-Latin itu, dia tidak kisah sama ada akan mendapat anak lelaki atau perempuan nanti.

“Kami sudah memiliki dua anak perempuan dan seorang lelaki.

“Kalau boleh kali ini, saya mahu anak lelaki kerana akan lebih berlembut dengan anak perempuan tapi dengan anak lelaki menjadi garang,” katanya.

Ditanya bilangan anak pula, kata Josiah, dia tidak kisah jika dikurniakan anak yang ramai.

“Jika nak ikutkan isteri mahu empat anak saja tetapi saya pula tidak kisah kerana percaya pada rezeki anak.

“Bila ahli keluarga bertambah, saya juga perlu bekerja lebih keras lagi dalam bidang seni untuk menyara keluarga,” katanya.

Terdahulu, Josiah juga memiliki seorang anak lelaki, Irvine, 13, menerusi perkahwinan terdahulu.

Menerusi perkahwinan buat kali kedua dengan Nurul Hidayu sejak 2013, mereka memiliki dua anak perempuan berusia tiga dan lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 7:56 PM