NABIL berdebar menanti kelahiran anak ketiga. FOTO Khairul Azhar Ahmad
NABIL berdebar menanti kelahiran anak ketiga. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Ramlah Zainal


“DOKTOR belum beritahu jantina anak ketiga ini kerana saya mahu ia dirahsiakan sebagai kejutan nanti.

“Memang saya berasa debaran menanti detik kelahiran kali ini kerana sangat berharap dapat anak lelaki,” kata pelawak dan pengacara popular Nabil Ahmad ketika mengulas jantina bayi dalam kandungan isterinya, Nazirah Ayub yang kini sarat mengandung tujuh bulan.

Menurut Nabil, dia sangat berharap dikurniakan bayi lelaki kerana sudah memiliki dua anak perempuan sebelum ini.

“Isteri pula tidak kisah sama ada anak lelaki atau perempuan.

“Saya juga bersyukur anak dalam kandungan isteri juga sihat selepas menjalani pemeriksaan baru-baru ini.

“Sepanjang hamil, isteri tidak mengalami sebarang alahan seperti muntah dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya penerimaan dua anak perempuannya pula, Naira Mikayla, 7, dan Leyla Medyna, 4, kata Nabil, mereka juga sangat teruja dan tidak sabar untuk mendapat adik tidak lama lagi.

“Setiap hari, mereka memegang dan mencium perut isteri yang sarat mengandung.

“Selain itu, mereka sudah sibuk membeli barang keperluan bayi untuk adik yang bakal lahir nanti,” katanya.

Berkongsi perancangan keluarga pula, kata pengacara program MeleTop itu, dia juga merancang untuk memiliki empat anak sekali gus melengkapkan keluarga sedia ada.

“Bila ahli keluarga bertambah, saya berasa bimbang juga kerana kos hidup yang semakin meningkat.

“Justeru, saya perlu bekerja lebih keras lagi untuk memberi pendidikan yang terbaik buat anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 4:35 PM