RAJA Aznil (tiga dari kiri) bersalam dengan Johnny Chang pada sidang media.
RAJA Aznil (tiga dari kiri) bersalam dengan Johnny Chang pada sidang media.
Ramlah Zainal


PEMBIKIN filem tempatan kini tidak perlu bimbang untuk mencari dana kerana dua organisasi iaitu Digital Content Connection (DCC) dan produksi Ace Pictures akan membantu dan menyediakan platform untuk mereka berkarya hingga ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Kewangan DCC, Sara Leana Nattaya Azmi berkata, menerusi kerjasama yang dijalinkan dengan Ace Pictures, pihaknya membantu mengetengahkan karya tempatan ke peringkat antarabangsa.

“DCC akan menggalas tanggungjawab mewujudkan sistem sokongan, nasihat serta pandangan dalam pembangunan projek filem pengkarya tempatan supaya seiring dengan perkembangan dunia digital.

“Jika sebelum ini, Ace Pictures banyak memberi fokus pada penerbitan filem antarabangsa, kini sampai masanya produksi mereka memberi peluang kepada pembikin filem tempatan untuk berkarya ke luar negara.

“Pihak Ace Pictures juga akan menyediakan dana kepada projek pembikin filem tempatan yang layak serta menepati syarat yang ditetapkan untuk menarik minat pasaran global,” katanya.

Sara ditemui pada sidang media jalinan kerjasama antara DCC dan produksi filem Ace Pictures yang berlangsung di hotel di Seri Kembangan, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif DCC, Datuk Raja Aznil Raja Hisham dan Ketua Pegawai Eksekutif Ace Pictures, Johnny Chang.

Mengenai pemilihan karya pula, kata Sara, prosesnya sangat ketat demi memastikan kualiti yang terbaik untuk dibawa ke peringkat antarabangsa.

“Setakat ini, 400 penyertaan diterima membabitkan pengkarya tempatan, tetapi hanya 10 karya yang layak.

SARA mahu bawa karya tempatan ke peringkat antarabangsa.
SARA mahu bawa karya tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Kami sangat mementingkan kualiti karya bermula daripada penghasilan skrip kerana ia komersial dan dana yang diberikan bukannya pinjaman sebaliknya ia membabitkan pelaburan untuk filem terbabit kerana akan dijual di luar negara.

“Contohnya, DCC antara satu-satunya syarikat yang mewakili negara sempena Festival Filem Busan tahun ini untuk menjual filem kita kepada pelabur di sana.

“Buat masa ini kita fokus untuk memasarkan filem kita ke Hollywood dan China diikuti India pula selepas ini,” katanya.

Kata Sara, pihaknya mengalu-alukan penerbit filem termasuk pengkarya indie atau animasi untuk menghantar permohonan mereka dengan segera.

“Pihak Ace Pictures menyediakan dana RM10 juta untuk penerbit filem yang layak dan karya dihantar menepati kriteria yang dicari.

“Pengkarya tempatan terutama dari Sabah dan Sarawak ada banyak cerita yang menarik, tetapi mereka kekurangan dana untuk menerbitkan filem.

“Terus terang saya akui banyak pihak berminat untuk lebih mengenali negara kita.

“Sebab itu, saya kecewa apabila penerbit filem Crazy Rich Asians yang buat penggambaran di lokasi menarik di Malaysia, tetapi mendakwa lokasi itu dilakukan di Singapura,” katanya.

Mengimbas latarnya, DCC adalah organisasi baharu yang diketuai oleh mereka yang mempunyai pengalaman luas selama lebih 40 tahun dalam industri kreatif.

Syarikat berkenaan mempunyai objektif untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kebolehan tinggi dalam kreativiti digital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 5:10 AM