KHALIS tak masuk campur hal peribadi Tajul. FOTO Zunnur Al Shafiq
KHALIS tak masuk campur hal peribadi Tajul. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ridzuan Abdul Rahman


“ALHAMDULILLAH, saya dan keluarga kami berasa lega dengan pendedahan yang dibuat oleh Tajul. Dia sendiri buka mulut berkenaan perkahwinannya dan kami turut gembira,” kata Khalis, abang kepada penyanyi Tajul bagi mengulas pengakuan adiknya berkahwin dengan Nurul Syamieza Eddie, 23, pada 10 Disember 2017.

Terdahulu, Khalis atau nama sebenarnya, Muhammad Khalis Shari, 31, yang juga bekas vokalis kumpulan Real Spin sebelumnya pernah bersekongkol dengan Tajul apabila menafikan perkahwinan adiknya apabila ditanya oleh pihak media.

Bahkan, dia berkata, Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari, 21, hanya bergurau dan mengeluarkan kenyataan sedemikian sebagai gimik untuk menarik perhatian peminat.

Mengulas perkara itu, Khalis yang popular dengan lagu Semakin Rindu mengakui terpaksa berbuat demikian bagi menghormati permintaan adiknya.

“Pada saya ini hal kecil. Biasalah kerana ketika itu Tajul masih baru dalam industri nyanyian. Jadi, dia tak nak cerita peribadi ini mengganggu kariernya.

“Inilah sebabnya dia minta kami rahsiakan. Katanya, dia sedang mencari tapak dalam bidang seni dan takut apabila kisah ini diketahui, peminat akan lari.

“Tajul tak nak hal peribadinya tersebar melebihi kariernya. Sebagai abang, saya memang sentiasa bagi sokongan dan sering mendoakan kejayaan dia,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, keluarganya juga menurutkan kehendak Tajul kerana dia berjanji akan menghebahkan perkara sebenar kepada masyarakat apabila tiba waktu yang sesuai.

“Kami pun memang tak masuk campur hal peribadi masing-masing. Itu keputusan yang dicapai oleh keluarga kami.

“Apapun, dia sudah buat pengakuan dan kami akur kerana mungkin ini masa yang difikirkan paling sesuai untuk memberitahu perkara sebenar,” katanya.

Sementara itu, Tajul dalam kenyataan yang dikeluarkan mengakui sekarang adalah masa terbaik dan tepat untuk membuat pengakuan memandangkan mereka sedang menanti kelahiran cahaya mata sulung tidak lama lagi.

Berita berkaitan

Bukan kahwin di Thailand lah - Tajul Ariff

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 7:52 PM