Khalis (kanan) kata Tajul mungkin buat gimik untuk tarik perhatian. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/fail HM
Khalis (kanan) kata Tajul mungkin buat gimik untuk tarik perhatian. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/fail HM
Ridzuan Abdul Rahman


“TUAN punya badan sudah mengaku itu hanya gurauan, jadi kita kena percayalah kata-kata dia. Mungkin tujuannya hanya nak buat gimik untuk tarik perhatian peminat,” kata Khalis Real Spin (gambar), abang kepada penyanyi Tajul bagi mengulas dakwaan adiknya berkahwin secara ‘diam- diam’ dengan seorang wanita.

Semalam, tersebar rakaman video mengenai Tajul yang dikatakan sudah berkahwin dengan wanita dikenali sebagai Nurul Syamieza Eddie.

Dalam rakaman itu, Tajul atau Tajul Ariff Noor Md Shari, 20, menyebut perkataan ‘wife’ yang ditujukan kepada wanita yang berada di sebelahnya.

Malah, status profil wanita itu di laman Instagram yang menggunakan akaun @icaaeddie meletakkan tanda #T Love #immarried.

Khalis atau Muhammad Khalis Shari, 30, yang juga vokalis Real Spin berkata, sejak kecil lagi, Tajul seorang yang ceria dan suka menggamatkan keadaan dengan telatah selambanya.

“Karakter Tajul memang sebiji dengan arwah abang, Achik Spin. Hubungan saya dengan Tajul pun okay, cuma kami lebih banyak berbual mengenai karier berbanding hal peribadi,” katanya.

Kakak kepada Tajul, Nur Aishah Shari atau Acha, 27, turut sependapat dengan abangnya apabila menafikan Tajul sudah berkahwin diam-diam.

“Dia sendiri cakap tersasul dan itu sudah memadai. Saya tidak tahu nak cakap apa lagi dan selebihnya hanya boleh kata no komen.

“Tidak dinafikan saya juga terkena tempias apabila ramai pihak termasuk kawan-kawan yang bertanyakan kesahihan perkara ini, tetapi jawapannya tetap sama iaitu no komen,” katanya yang bakal tampil dengan single pertama tidak lama lagi.

Sementara itu, Eksekutif Promosi FMC, Sam Samin turut menafikan kesahihan berita artis naungan mereka ini sudah berkahwin.

“Kami ada bertanyakan Tajul berkenaan perkara ini dan dia hanya ketawa sekaligus kami menganggap dia hanya bergurau.

“Cuma tidak dinafikan itu memang kekasihnya. Kami sendiri tidak kenal dan tidak masuk campur urusan peribadinya. Lagipun, dia tidak pernah membawanya berjumpa kami atau ketika buat persembahan,” katanya.

Menurut Sam, Pengarah Eksekutif FMC, Ho Chin Fui sendiri pernah menasihatkan Tajul agar jangan mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan.

“Kami juga menafikan FMC ada polisi yang melarang artis berkahwin. Namun, kami sentiasa nasihatkan artis agar berfikir mendalam sebelum buat keputusan berkahwin.

“Kami hanya menasihati dan bukan melarang. Syarikat bimbang apabila artis tergesa-gesa berkahwin dan populariti merudum, bimbang nanti mereka menyalahkan kami.

“Bagaimanapun jika betul-betul artis nak berkahwin, tiada masalah untuk beritahu kami daripada buat secara diam-diam,” katanya.

Berita berkaitan:Tajul sudah kahwin?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 6:54 PM