VOKAL membuai ‘merasuk’ Zamani Supporters kembalikan nostalgia. FOTO Nurul Shafina Jemenon
VOKAL membuai ‘merasuk’ Zamani Supporters kembalikan nostalgia. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


USIA 48 tahun bukan halangan buat Zamani mempamerkan persembahan cemerlang bagi menghiburkan peminat di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Selepas dua minggu mendirikan rumah tangga, Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim muncul menerusi persembahan solo dengan memberikan persembahan terbaik.

Mendapat sokongan 200 ahli Zamani Supporters (ZS), vokalis kumpulan Slam itu membuka persembahan dengan lagu Entah Mengapa.

Pada persembahan bermula 4.15 petang, Zamani mengekalkan kelunakan suara apabila membawakan Cinta Luar Biasa nyanyian penyanyi asal, Andmesh Kamaleng.

Pernah memenangi Anugerah Kembara pada Anugerah Industri Muzik 1997, nama Zamani berulang kali dilaungkan peminat yang begitu menyayanginya.

Dia yang ditemani pemain muzik jemputan iaitu Aswa (gitaris), Lan Todak (dram) dan Che Along (keyboard) membuatkan peminat tidak senang duduk apabila mempersembahkan lagu Mentari Muncul Lagi.

Manakan tidak, lontaran vokal membuai dan tinggi seakan-akan ‘merasuk’ peminat bersama-sama menyanyikan lagu hit itu sekali gus mengembalikan nostalgia lalu.

PEMINAT Zamani memberikan sokongan. FOTO Nurul Shafina Jemenon
PEMINAT Zamani memberikan sokongan. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Peminat tersenyum puas apabila Zamani terus menghiburkan mereka dengan lagu Gerimis Mengundang.

Pelakon filem Bara pada 1999 itu turut mendedikasikan sebuah lagu Namun Ku Punya Hati nyanyian Revolvers untuk peminat ciliknya, Aleeya Maisara yang meninggal dunia baru-baru ini.

Selepas berehat seketika selama 20 minit, Zamani mempersembahkan beberapa lagu yang melonjakkan nama Slam iaitu Kembali Terjalin, Kembali Merindu dan Nur Kasih.

Dia turut mempersembahkan lagu Tambatan Hati dan Belaian Jiwa nyanyian Innuendo.

Menurut Zamani, persembahan itu diadakan bagi menghargai sokongan tidak bertepi peminat terhadapnya selama ini. Usai persembahan, Zamani beramah mesra dengan peminat dan menyampaikan cenderahati kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:30 AM