IZZUE harap  lebih ramai pendengar dan penggemar muzik tempatan akan mendengar lagu This Is Malaysia. FOTO Nurul Shafina Jemenon
IZZUE harap lebih ramai pendengar dan penggemar muzik tempatan akan mendengar lagu This Is Malaysia. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, penyanyi dan komposer, Izzue Islam sekali lagi berkolaborasi bersama isterinya, Awin Nurin menghasilkan lagu patriotik berjudul This Is Malaysia.

Izzue ketika dihubungi berkata, dia dan isterinya yang menggunakan gandingan permulaan huruf nama mereka, IIAN terpanggil untuk menghasilkan lagu itu sebagai tanda sumbangan dan penghargaan buat negara tercinta.

"Saya dan isteri masih lagi baru dalam bidang penulisan lagu serta lirik. Jadi, penghasilan lagu patriotik ini adalah satu cara untuk kami mencabar kemampuan diri sendiri.

"Selain itu, saya juga merasakan bahawa ini adalah satu cara yang sesuai untuk selebriti dan anak seni mencurahkan sesuatu buat negara," katanya kepada Harian Metro.

Namun begitu, video lirik yang dimuat naik sejak 24 Ogos lalu itu kurang mendapat sambutan.

"Kalau di YouTube, jumlah tontonannya tidaklah terlalu banyak. Tapi tak mengapa, kerana itu tidak melemahkan kami untuk terus menghasilkan karya sebegini," katanya.

Sebelum ini, IIAN juga pernah menghasilkan lagu berjudul My City, khas untuk menarik pelancong melawat Kelantan.

"Jadi, kali ini kami besarkan skop lagu patriotik dan hasilkan lagu This Is Malaysia," katanya.

Ditanya sama ada lagu itu dihasilkan hanya untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Izzue berkata ia lebih menyeluruh.

"Ia tidak terlalu spesifik untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia saja kerana ia sesuai diperdengarkan di pelbagai acara bagi menunjukkan rasa cinta kita kepada tanah air.

"Saya harap, lebih ramai pendengar dan penggemar muzik tempatan akan mendengar sekali gus menghayati setiap bait kata dalam lirik lagu ini," katanya.

Terbaru, Izzue bakal beraksi di pentas teater Mak Yong Raja Besar Maha Gading yang akan mula dipentaskan pada 11 hingga 13 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 8:43 PM