SAM mahu jalan cerita, watak dilakonkan bawa impak terhadap kerjaya.
SAM mahu jalan cerita, watak dilakonkan bawa impak terhadap kerjaya.
Norhayati Nordin


KEHADIRAN dua cahaya mata dalam tempoh tiga tahun melayari bahtera rumah tangga bersama pelakon Syatilla Melvin, 28, nyata membuatkan hidup Shaheizy Sam, 36, lengkap.

Pelakon filem Polis Evo itu mengakui kehadiran Syeriv Samheizy, 2, dan Sarima Samheizy yang lahir pada 17 April lalu menjadi pengikat kasih mereka berdua.

Sam berkata, dia kini selesa menghabiskan masa bersama keluarga dengan melayan keletah anak yang sedang membesar.

“Apabila sudah berkeluarga, tumpuan terhadap kerjaya tidak seperti dahulu. Apatah lagi, saya kini memilih tawaran yang datang.

“Memandangkan banyak filem dengan pelbagai genre sudah saya lakonkan sebelum ini, sekarang saya kena lebih teliti memilih.

“Saya akan pastikan jalan cerita dan watak dilakonkan nanti menarik dan membawa impak dalam lakonan dipersembahkan,” ujarnya.

Berbicara mengenai karya baru yang akan dibintanginya, Sam berkata, jika tiada aral dia akan kembali ke set penggambaran filem aksi.

Apapun, katanya, kini dia masih dalam proses perbincangan dan belum boleh diuar-uarkan.

Selain melalui fasa kehidupan yang bahagia dan gembira bersama keluarga tercinta, Sam yang aktif dalam perniagaan juga berhadapan ujian, baru-baru ini.

Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 36, terpaksa membuat laporan polis di Balai Polis Ukay Perdana, Ampang Jaya pada 8 Julai lalu selepas namanya dikaitkan dengan aktiviti pelaburan mata wang digital.

Menurut Sam, laporan polis itu dibuat sebagai pencerahan yang dia tidak pernah terbabit dengan aktiviti pelaburan mata wang digital seperti diiklankan pihak berkenaan.

BERSIHKAN NAMA

“Sudahlah menggunakan nama saya tanpa izin, mereka (pihak itu) memfitnah dengan mendakwa saya pernah muflis dan berjaya bangkit menerusi pelaburan terbabit.

“Saya juga terkejut apabila dimaklumkan pihak berkenaan dengan berani buat iklan yang mengaitkan nama saya untuk menarik orang ramai menyertai pelaburan itu.

“Tidak dinafikan, saya juga dapat banyak mesej langsung (DM) daripada orang ramai di Instagram (IG) yang inginkan maklumat lanjut kerana mahu melabur,” jelasnya.

Kesal dengan apa yang berlaku, Sam tegas dengan pendirian tidak pernah terbabit dalam perniagaan pelaburan mata wang digital.

Ujarnya, semoga dengan laporan polis dan penjelasan dibuatnya akan membantu orang ramai agar tidak menjadi mangsa pihak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 5:00 AM