ISSEY mula tugasan selesai bersahur selepas bekerja di sebelah pagi di tempat baru, Suria FM.
ISSEY mula tugasan selesai bersahur selepas bekerja di sebelah pagi di tempat baru, Suria FM.
Syafil Syazwan Jefri


RAMADAN tahun ini nampaknya banyak berbeza dari segi rutin harian buat pelawak dan penyampai radio, Issey. Jika tahun lalu, tugasannya di stesen radio Hot FM adalah untuk mengendalikan segmen petang, di Suria FM yang menjadi tempat kerja barunya pula, dia bekerja di sebelah pagi.

Mengakui Ramadan tahun ini sedikit mencabar, Issey berkongsi kisah Ramadan dan puasanya.

“Setiap tahun, tentunya Ramadan akan menjadi bulan yang paling dinanti-nantikan dan tahun ini, cabaran buat saya berbeza jika dibandingkan dengan tahun lalu.

“Tahun ini, saya bekerja untuk segmen pagi dan apa yang boleh saya katakan, rutin Ramadan saya banyak berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Menurut Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, sepanjang Ramadan, dia memulakan tugasannya di tempat kerja selepas selesai bersahur.

“Tahun lalu, saya kerja pada waktu petang. Jadi, selepas Subuh, saya boleh tidur semula sebelum masuk kerja untuk mengendalikan segmen petang.

“Sekarang, selesai bersahur, saya kena bersiap-siap untuk memulakan kerja. Selesai dengan segmen pagi, saya rasa tempoh masanya sangat panjang sebelum waktu berbuka.

“Apa pun, itu semua saya jadikan cabaran untuk diri saya sendiri dan sedar tak sedar, saya pun sudah mula biasakan diri. Sekarang waktu tidur saya pun semakin awal kerana perlu bangun awal pagi,” katanya. Ditanya mengenai karier seninya sepanjang Ramadan, Issey berkata, ia berjalan seperti biasa.

“Tugasan sebagai penyampai radio masih berjalan seperti biasa dan ia sentiasa menjadi keutamaan buat saya.

“Untuk kerja lakonan dan sebagainya, saya pun tidak terlalu mengharapkan apa-apa. Tapi, ada juga beberapa program TV yang saya jayakan untuk tayangan dalam bulan Ramadan ini.

“Antaranya, Hantu Don yang sudah ditayangkan baru-baru ini dan Geng Van Jenazah yang akan ditayangkan bermula 22 Mei,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan sempena Aidilfitri, Issey berkata, persiapannya sederhana saja.

“Persiapan saya sederhana saja seperti tahun-tahun sebelum ini. Insya-Allah, saya akan pulang beraya di Kelantan selama tiga hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 4:30 AM