ALIHUDDIN Zainuddin mengimamkan solat Tarawih  bersama keluarga di kediaman mereka. FOTO, Asyraf Hamzah
ALIHUDDIN Zainuddin mengimamkan solat Tarawih bersama keluarga di kediaman mereka. FOTO, Asyraf Hamzah
Mohd Shahrizal Nasir

SEMEMANGNYA puasa Ramadan kali ini berbeza berbanding tahun-tahun lalu. Jika biasanya umat Islam di Malaysia menyambut Ramadan dengan adanya bazar Ramadan, solat Tarawih di masjid, makan moreh bersama ahli kariah dan seumpamanya namun ia benar-benar berbeza kali ini.

Bagaimanapun, hikmah daripada Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP), banyak tuntutan ibadah sama ada yang wajib mahupun sunat dapat dilakukan di rumah masing-masing. Jika dilihat dari sudut positif, kali ini banyak masa dihabiskan bersama keluarga.

Majortiti umat Islam di Malaysia tidak perlu keluar ke rumah untuk bekerja, sebaliknya mereka perlu duduk di rumah dalam keadaan berpuasa. Inilah peluang keemasan untuk setiap umat Islam mengimarahkan Ramadan di rumah sendiri. Jadikanlah rumah tempat meraih ganjaran istimewa daripada Allah SWT. Bukankah selalu kita dengar ungkapan Rumahku Syurgaku.

Ramadan adalah madrasah bagi mentarbiah diri agar lebih dekat dengan Allah SWT. Pada bulan ini, umat Islam mematuhi perintah Allah SWT dengan berpuasa. Umat Islam menyahut perintah Allah SWT agar tidak makan dan minum pada waktu siang sedangkan perkara tersebut dibenarkan pada bulan-bulan selain Ramadan.

Inilah yang menzahirkan ketaatan seorang hamba kepada Allah SWT. Umat Islam menahan diri daripada makan dan minum sepanjang waktu siang hanya kerana menyahut seruan Allah SWT tanpa mempertikaikannya. Ketaatan inilah yang akan melayakkan setiap orang yang berpuasa mendapat ganjaran yang istimewa daripada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya jika engkau meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah akan memberi ganti untukmu dengan yang lebih baik." (Hadis riwayat Ahmad)

Bagi tujuan mengimarahkan bulan Ramadan di setiap rumah orang Islam, maka jadikanlah setiap ruang dalam rumah sebagai tempat untuk meraih pahala. Puasa itu bukanlah hanya menahan diri daripada makan dan minum, sebaliknya ia disertakan dengan amal ibadah sunat yang banyak.

Pada bulan Ramadan, dapur dalam rumah adalah tempat yang paling sibuk beroperasi. Sebelum masuknya waktu Subuh lagi, dapur sudah beroperasi untuk tujuan penyediaan hidangan untuk bersahur. Begitu juga waktu selepas Asar sebelum masuknya maghrib untuk penyediaan hidangan berbuka puasa. Oleh itu, inilah tempat yang boleh mendidik ahli keluarga melakukan kebaikan.

Kalau hari biasa, insan bergelar ibu sahaja yang bertungkus-lumus memasak di dapur, maka kali ini seluruh ahli keluarga boleh dilibatkan. Penyediaan juadah untuk bersahur dan berbuka juga bukan hanya untuk ahli keluarga, namun boleh dipanjangkan kepada jiran tetangga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Selain dapur, meja makan juga antara tempat dalam rumah yang semua orang boleh meraih pahala. Kefahaman agar setiap orang mesti makan sahur kerana padanya ada keberkatan perlu diberi penekanan agar setiap ahli keluarga tidak mengabaikan sahur. Jika sebelum ini, ada dalam kalangan ahli keluarga yang terpaksa memenuhi jumputan berbuka puasa di merata tempat, maka kali ini dengan sebab PKP, semua orang boleh berbuka puasa bersama ahli keluarga di rumah.

Ambillah peluang memperbanyakkan berdoa ketika menunggu waktu berbuka puasa. Rasulullah SAW berpesan menerusi sebuah hadis yang bermaksud: "Ada tiga orang yang doanya tidak ditolak; pemimpin yang adil, orang yang berpuasa ketika dia berbuka, dan doa orang yang dizalimi."(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Ujian yang sedang dihadapi ini boleh menjadi wasilah untuk kita menambah amal ibadah bersama-sama keluarga. Kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan dengan Allah SWT, tetapi juga hubungan sesama insan dalam keluarga. Mudah-mudahan peluang untuk mengimarahkan Ramadan dalam rumah kali ini menjadi antara sebab kita dijauhkan daripada azab neraka.

Firman Allah SWT yang memberi peringatan mengenai tanggungjawab setiap ahli keluarga, maksudnya: "Wahai orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya (terdiri daripada) manusia dan batu (berhala)..." (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Penulis adalah pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 6:55 AM