EBBY YUS
EBBY YUS
Amirul Haswendy Ashari

PELAKON dan pelawak popular Ebby Yus, 54, mendapat satu lagi tawaran baru menderma buah pinggang daripada seorang wanita muda seminggu sebelum Ramadan lalu.

Ebby berkata, dia sudah bertemu dengan wanita berasal dari Lembah Klang itu baru-baru ini, tetapi mereka belum berbincang perkara itu lebih lanjut.

“Saya tidak tahu apa yang membuatkan dia mahu menderma buah pinggangnya. Nanti saya akan uruskan pertemuan dengannya sekali lagi dengan pihak media.

“Pada mulanya dia mesej bertanya, darah saya jenis apa? Saya terkejut juga, darah apa?” katanya.

Pelakon sitkom JKKK itu menganggap niat wanita itu adalah satu perkara yang tidak boleh main-main.

Namun, Ebby memaklumkan kepada wanita terbabit kerana setakat ini dia belum memerlukannya lagi kerana keadaan buah pinggangnya sedikit sihat berbanding sebelum ini dan tidak memerlukan rawatan dialisis.

Januari lalu, Ebby pernah mendapat tawaran sama daripada seorang aktivis kemasyarakatan dikenali sebagai Syed Syukri MK dari Port Dickson.

“Syed Syukri juga menunggu keputusan daripada saya sama ada mahu menerima (derma) buah pinggangnya atau tidak.

“Dia memberitahu ada juga insan lain yang meminta tapi dia sudah berjanji mahu mendermanya kepada saya,” katany yang pernah bertemu dengan Syed Syukri di Port Dickson, April lalu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk buah pinggang bocor, jantung, darah tinggi, gastrik, masalah saraf dan prostat sejak beberapa tahun lalu.

Selepas kisahnya tular, beberapa individu menawarkan bantuan kewangan, melakukan umrah termasuk menawarkan buah pinggang kepada Ebby pada Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 11:51 AM