AMYRA berpeluang berniaga kuih raya bersama suami.
AMYRA berpeluang berniaga kuih raya bersama suami.
Syanty Octavia Amry


NIAT mahu berehat sepanjang Ramadan ini bertukar sibuk apabila Amyra Rosli mendapat peluang berniaga kuih raya bersama suami, Amar Baharin.

Amyra, 27, berkata, semua itu hanya kebetulan dan jika diikutkan Ramadan ini dia mahu berehat selepas tahun lalu sibuk dengan penggambaran drama bersiri Nur.

Baginya, rezeki jangan ditolak tambahan pula selepas mempunyai anak, Amyra tidak boleh duduk diam dan sentiasa mencari peluang untuk menambah pendapatan.

“Sebenarnya Ramadan ini saya mahu berehat selain fokus membesarkan anak, Aqeef Anaqi yang bakal menginjak usia dua tahun.

“Namun, apabila ditawarkan tapak berniaga rasa sayang pula hendak dilepaskan apatah lagi saya tidak boleh duduk diam saja. Kebetulan ada pengeluar kuih menawarkan saya peluang berniaga. Jadi, peluang itu saya ambil dan kuih yang dijual juga adalah kegemaran saya serta Amar,” katanya.

Selain itu, Amyra juga turut terbabit dengan promosi beberapa bara­ngan yang memerlukan komitmennya sebagai duta untuk turun padang.

Mengulas mengenai komitmen sebagai duta beberapa barangan, Amyra berkata, dia bersyukur apabila Anaqi juga turut dilantik menjadi duta.

Namun, dia tidak mahu terlalu mengerah anak­nya untuk bekerja kerana berasakan masanya belum sesuai untuk Anaqi berbuat begitu.

“Saya bersyukur rezeki tidak putus-putus sejak melahirkan Anaqi. Banyak juga produk menjadi duta ditawarkan kepada Anaqi tetapi saya lebih selesa jika tawaran itu diberikan sekali kepada saya atau Amar.

“Saya tidak mahu memaksa dia bekerja pada usia yang masih kecil. Tawaran akan kami ambil bersesuaian dengan keadaan dan biarlah membabitkan saya bersama Amar.

“Jika hanya Anaqi seorang, buat masa ini saya belum berani terima. Saya tidak mahu dia penat seperti orang dewasa bekerja,” katanya.

Berkongsi sambutan Aidilfitri tahun ini, Amyra berkata, seperti biasa mereka akan beraya di Kuala Lumpur dan Kajang, Selangor.

Malah, dia juga tidak perlu bimbang dengan persiapan pakaian kerana sudah mendapat tajaan daripada Prima Valet yang melantik mereka tiga beranak sebagai duta.

“Kampung kami dekat-dekat jadi tidak ada masalah untuk beraya di mana. Setiap kali raya hanya di Kuala Lumpur dan Kajang saja.

“Soal baju raya juga tidak menjadi masalah. Saya ha­nya perlu ambil saja di butik Prima Valet berapa pasang yang saya, suami dan anak mahukan,” katanya.

Gementar Nur bakal ke pentas teater

Tidak menyangka sambutan hangat yang diterima menerusi lakonannya dalam drama bersiri Nur 2, Amyra mengakui gementar apabila mendapat tahu Nur bakal ke pentas teater.

Menurut Amyra, pe­ngarah Nur, Shahrulezad Mohameddin memberitahu Istana Budaya (IB) menghubunginya dan berminat mahu drama popular itu dipentaskan di IB.

“Saya memang terkejut dan gementar apabila Abang Ejad beritahu IB mahu drama Nur dipentaskan di sana. Bukan mudah untuk membawa drama berat ke pentas teater. Ia mungkin menarik di filem tetapi di hadapan penonton ia sesuatu yang mencabar,” katanya.

Katanya, hendak me­nyanyi juga bukanlah mudah kerana dia bukan seorang yang pandai menyanyi.

“Pertama kali saya di pentas teater menerusi Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, itu pun sebagai watak pembantu.

“Kali ini saya memegang watak utama dan kata Abang Ejad, saya, Syafiq Kyle, Azhan Rani dan Noorkhiriah perlu ada untuk menjayakan teater ini,” katanya.

Dalam pada itu, Amyra berkata, dia berharap selepas ini ditawarkan watak yang lebih mencabar.

“Ada juga yang bertanya adakah saya tidak mahu cuba watak lain yang lebih mencabar? Pastinya saya mahu.

“Tetapi watak air mata juga yang sering diberikan kepada saya. Saya tidak kisah selagi penonton suka dan mahu, saya ikutkan saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 4:30 AM