SUFIAN tidak menjangka sama sekali muzik video Mencuba tular dan diperkatakan ramai. FOTO Sudirman Mohd Tahir
SUFIAN tidak menjangka sama sekali muzik video Mencuba tular dan diperkatakan ramai. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Sufian Suhaimi menafikan babak menaiki helikopter dalam muzik video Mencuba sengaja untuk membangkitkan kisah cinta lama dengan bekas tunang.

Sebaliknya, Sufian, 27, berkata babak itu ditambah pada saat akhir selepas mendapat tajaan daripada syarikat penerbangan persendirian.

“Sejujurnya saya gementar untuk menjayakan babak ini sebab tidak mahu ia jadi isu besar atau menyinggung mana-mana pihak.

“Lagi pula, dalam perancangan asal memang tidak ada babak ini. Apabila ada yang menaja pada saat akhir, saya dan pasukan terima saja.

“Namun, terpulang kepada persepsi penonton sejauh mana nak menilaikan muzik video ini. Ingin dijelaskan, ia tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak,” katanya kepada Harian Metro.

Sufian yang ditemui pada sidang media Konsert Trio di Kuala Lumpur berkata, dia juga tidak kisah jika ada pihak beranggapan elemen helikopter itu sebagai gimik untuk menularkan muzik video yang dilancarkan pada 3 April lalu.

“Terima kasih kalau ada yang beranggapan saya bijak sebab menggunakan peluang ini untuk melariskan lagu. Jarang orang cakap sedemikian. Selalu cakap saya tak ‘move on’.

“Tetapi kalau nak tahu, lagu Di Matamu sangat memberi kesan. Jadi, untuk lagu baru ini saya kena buat yang lebih baik. Kalau tidak boleh sama seperti Di Matamu pun, saya berharap ia mampu memberikan kejayaan tersendiri.

“Jadi, disebabkan itu saya kena buat yang tebaik. Cuma, saya tidak menjangka sama sekali muzik video ini tular dan diperkatakan. Sekali gus menjadikan tontonan di YouTube melebihi 1 juta dalam tempoh tiga hari dan masih trending hingga sekarang,” katanya.

Dalam masa sama, Sufian mengakui dirinya sudah lama ‘move on’ tanpa memikirkan lagi apa yang pernah terjadi sebelum ini.

“Gara-gara helikopter ini, ramai komen sampai bila saya nak ‘move on’. Sedangkan, apa yang ditunjukkan dalam muzik video Mencuba adalah secara keseluruhan,” katanya.

Mengenai konsert itu, Sufian bakal bergandingan dengan Khai Bahar dan Wany Hasrita membabitkan empat lokasi.

Lokasi terbabit ialah di Expo @ Danga City Mall, Johor Bahru (13 Julai), Stadium SUKPA, Kuantan (17 Ogos), Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar (5 Oktober) dan Stadium Malawati, Shah Alam (2 November).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 7:09 PM