HANYA Neeta dan Patrick hadir ketika pelancaran klip dan lagu.
HANYA Neeta dan Patrick hadir ketika pelancaran klip dan lagu.
Ardini Sophia Sina

LEBIH setahun sepi tanpa sebarang produk baharu, kumpulan IAmNeeta akhirnya lega dan gembira apabila single terkini mereka berjudul Ilusi berjaya dilancarkan minggu lalu.

Dianggotai oleh Neeta sebagai vokalis, Patrick Anohada (gitar) dan Anas Zakwan (bass), tiga sekawan itu terlebih dulu berhadapan masalah hingga menyebabkan pelancaran lagu berkenaan ditunda daripada tarikh sebenar.

Kata Neeta, mengikut perancangan, mereka sepatutnya tampil dengan lagu baharu tahun lalu, namun disebabkan masalah teknikal, mereka terpaksa merakamkan semula lagu berkenaan.

“Senang cerita, cakera keras tempat kami menyimpan lagu ini rosak. Kami sanggup hantar ke Singapura kerana ketika itu ada peluang untuk dibaiki dan memori dalam cakera keras pun boleh dapat semula.

“Bagaimanapun, selepas beberapa bulan hanya dapat dua fail saja daripada keseluruhan lagu. Kami akhirnya buat keputusan rakam semula dari awal. Di sinilah cabaran kami, untuk dapat semula semangat ini bukannya mudah.

“Bayangkan kena buat semula benda yang sudah pernah kita lakukan sebelum ini. Ada juga perasaan bosan sebab terpaksa ulang. Bagaimanapun, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya.

Katanya, ketika menjalani rakaman semula, ada beberapa perubahan yang mereka lakukan dan hasilnya lebih baik daripada naskhah terdahulu. Perbezaan paling ketara adalah pada garapan muzik dan vokal.

Dihasilkan sepenuhnya oleh Patrick, kata jejaka kelahiran Sabah itu, penceritaan yang disampaikan menerusi lagu itu adalah hasil pemerhatian pengalaman rakan sekelilingnya.

Katanya, Ilusi mengisahkan seseorang yang terlalu mementingkan kesempurnaan dalam hubungan hinggakan tanpa sedar mengawal semua gerak-geri pasangan mereka.

“Sebenarnya, saya melihat seorang rakan wanita yang mulai berubah sikap selepas menjalin hubungan. Semua pergerakannya dikawal hinggakan mahu ke kedai runcit pun perlu kebenaran.

“Dari situasi itulah saya terfikir untuk hasilkan lagu ini. Menceritakan seseorang yang berilusi untuk mendapatkan pasangan sempurna hingga sanggup mengawal atau mengongkong,” katanya.

Hadir hanya Neeta dan Patrick ketika pelancaran klip dan lagu, mereka bagaimanapun tidak berasa kosong walaupun Anas sedang melanjutkan pelajaran di Russia selama lima tahun.

Namun, mereka masih membiasakan diri dengan ketiadaan pemain bass itu setiap kali mengadakan persembahan mahupun promosi lagu.

Neeta menegaskan, Anas masih bersama IAmNeeta dan tidak akan digantikan dengan orang lain.

Katanya, Anas tidak bersama mereka kerana melanjutkan pelajaran pada Disember lalu.

“Namun, kami tidaklah terlalu rasa kosong kerana tahu dia akan pulang pada waktu cuti.

“Bagaimanapun, andai memerlukan pemain bass, kami akan mencari seseorang menggantikan posisi sebagai ‘sessionist’ saja.

“Walaupun Anas tidak bersama kami, ia tidak mengganggu perjalanan karier kumpulan,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 5:30 AM