BURHANUDDIN bersama kru produksi Les Copaque pada majlis pelancaran poster dna trailer Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal. FOTO Bernama
BURHANUDDIN bersama kru produksi Les Copaque pada majlis pelancaran poster dna trailer Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal. FOTO Bernama
BERNAMA

SELEPAS 10 tahun mencipta fenomena menerbitkan filem animasi 3D pertama negara berjudul ‘Geng: Pengembaraan Bermula’, Les' Copaque Production Sdn Bhd kembali dengan filem animasi 3D 'Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal’ (UIKST) yang bakal disiarkan di pawagam seluruh negara bermula 21 Mac ini.

Mengambil masa lima tahun untuk penyelidikan dan penghasilan teknikal yang setanding filem animasi antarabangsa, UIKST dijangka dapat melonjakkan mutu industri animasi tempatan setanding karya-karya besar di luar negara.

Pengarah Urusannya, Burhanuddin Md Radzi berkata, UIKST yang menelan belanja hampir RM20 juta menggunakan sepenuhnya kepakaran anak tempatan.

“Ia mengambil masa yang agak panjang untuk disiapkan kerana Les’ Copaque mahu meningkatkan tahap teknikal kumpulan produksi.

“Selain itu, team produksi kita juga banyak mempelajari kemahiran teknikal dengan menggunakan teknologi dari Hong Kong bagi menghasilkan animasi yang lebih hidup dari segi warna dan pergerakan animasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Poster dan Trailer UIKST di GSC Movies Mid Valley, Kuala Lumpur, hari ini.

UIKST mendapat sentuhan tiga pengarah muda Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim yang berpengalaman menghasilkan siri animasi terbitan Les’ Copaque iaitu siri Upin dan Ipin, Pada Zaman Dahulu dan Puteri.

Ahmad Razuri berkata gabungan itu bertujuan menonjolkan kelainan berbanding siri animasi yang pernah diterbitkan Les’ Copaque.

“Setiap pengarah memberikan penekanan terhadap elemen-elemen berbeza mengikut kepakaran masing-masing seperti elemen emosi, aksi dan juga perkembangan watak,” katanya.

UIKST berkisar tentang pengembaraan Upin dan Ipin ke sebuah kerajaan Inderaloka selepas menemui sebilah keris Melayu dalam bilik stor milik Tok Dalang bernama Keris Siamang Tunggal. Pengembaraan itu membawa kembar comel dan nakal itu bertemu pelbagai watak dongeng popular tempatan antaranya Mat Jenin, Si Tanggang, Bawang Putih Bawang Merah dan Pak Belalang.

Filem itu juga bakal ditayangkan di Indonesia, Brunei dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 7:49 PM