FOTO dimuat naik Iqram menunjukkan kenderaan milik ibu dan abangnya yang rosak akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut, semalam. FOTO Ihsan Iqram Dinzly
FOTO dimuat naik Iqram menunjukkan kenderaan milik ibu dan abangnya yang rosak akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut, semalam. FOTO Ihsan Iqram Dinzly
Syafil Syazwan Jefri


“APABILA pokok ‘bersujud’ ke bumi, saya anggap itu rezeki dan bukan bencana,” itu luahan pelakon, Iqram Dinzly, 38, apabila rumah keluarganya di Ipoh, dilanda ribut, petang semalam.

Ribut itu juga menyebabkan pokok besar yang berada berhampiran rumah keluarganya tumbang dan menghempap dua kereta milik abang dan ibunya.

“Alhamdulillah, keluarga saya tiada yang cedera. Cumanya, kereta abang saya (Proton Gen2) dan kereta mama (Proton Exora) memang rosak teruk apabila dihempap oleh pokok tumbang,” katanya kepada Harian Metro.

Kejadian yang berlaku sebelum Asar itu bermula dengan angin sebelum bertukar menjadi ribut.

“Saya anggap apa yang berlaku adalah sebagai rezeki dan peringatan daripada Allah kepada kita. Sekuat dan sesihat mana pun kita, kita perlu sujud kepada-Nya sebelum terlambat,” katanya.

Ketika kejadian itu berlaku, Iqram sedang berada di Kuala Lumpur, manakala ibu dan abangnya yang tinggal berjiran berada di Ipoh.

Iqram pulang ke Ipoh untuk membantu membersihkan sisa pokok tumbang, pagi hari ini.

Selain kenderaan, bumbung balkoni depan rumah ibunya juga turut musnah akibat ribut itu.

Insiden itu juga merosakkan lebih 20 rumah di kawasan sekitar Kampung Gugusan Manjoi dan Taman Keledang Raya, Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 3:55 PM