MICHELLE.
MICHELLE.
Ridzuan Abdul Rahman

Peluang menyaksikan penggambaran filem genre aksi kungfu ibarat bulan jatuh ke riba. Maklumlah sebelum ini kita hanya melihat filem yang sudah siap dan nampak sempurna tanpa mengetahui cerita sebenar yang berlaku di sebalik penggambaran.

Sejurus selesai menikmati makan malam, rombongan media Malaysia seramai 20 orang dibawa ke set penggambaran filem Master Z: The Ipman Legacy lakonan Tan Sri Michelle Yeoh, Max Zhang, Tony Jaa, Dave Bautista dan Kevin Cheng yang terletak di pinggir bandar Foshan.

Kehadiran kami kira-kira jam 10 malam disambut mesra pengurus produksi yang meminta agar berhati-hati kerana keadaan persekitaran yang agak gelap.

Rombongan kami turut ditemani Pengarah Urusan Lotus Five Star iaitu Garuna Murthee yang berminat melihat sendiri penggambaran sedang berlangsung. Ketika itu, masing-masing terpaku melihat set penggambaran yang direka khas bagi menggambarkan suasana Hong Kong pada era 50-an.

Dari jauh kelihatan Michelle dengan pakaian ‘qipao’ serba hitam dan gaya rambut seperti wanita elegan Shanghai pada 1930 berada dalam sebuah kereta vintaj berwarna hitam untuk memulakan penggambarannya.

Di sisinya pelakon Kevin Cheng yang berlakon sebagai adiknya dalam filem itu.

Menyedari keterujaan kami, unit produksi awal-awal lagi mengingatkan jangan berbual bagi memastikan penggambaran filem arahan Yuen Woo-ping dan diterbitkan Raymond Wong serta Donnie Yen itu berjalan lancar.

Biarpun sibuk produksi tetap mengotakan janji apabila memberikan ruang buat kami untuk menemu bual barisan pelakon.

Sebaik babaknya selesai pada tengah malam, bintang filem Tomorrow Never Dies pada 1997 sebagai gadis Bond ini menghampiri kami dengan senyuman terukir dibibir.

ANTARA babak menarik dalam filem Master Z: The Ipman Legacy.
ANTARA babak menarik dalam filem Master Z: The Ipman Legacy.

“Dari Malaysia?” katanya yang seakan-akan gembira bertemu media dari negara sendiri.

Berada di lokasi berjam-jam lamanya, Michelle tidak menunjukkan riak wajah penat untuk melayan media.

“Saya sentiasa bertenaga setiap kali menjayakan filem aksi. Bahkan apabila di set saya sentiasa bersemangat untuk memulakan setiap babak dan selepas itu susah untuk berhenti,” katanya.

Sambil menunjukkan kesan lebam di tangan, Michelle berkata, itu perkara biasa membabitkan babak bertarung dengan Max Zhang Jin.

“Kami cuba mengawal pergerakan antara satu sama lain tapi dalam lakonan macam-macam boleh berlaku.

“Saya masih aktif membintangi filem aksi kerana berasa puas dengan pencapaian yang diraih. Melihat lakonan sendiri di layar lebar, saya dapat rasakan segala titik peluh, air mata dan darah berbaloi,” katanya.

Michelle bukan asing dengan Yuen kerana pernah bekerjasama sebelum ini antaranya menerusi filem Tai Chi Master (1993), Wing Chun (1994) dan Crouching Tiger, Hidden Dragon.

“Yuen seorang yang mudah untuk bekerja bersama. Dia sentiasa ada idea baru dan sukakan cabaran. Saya tak pernah bosan bekerja dengannya,” kata Michelle.

Menurutnya, setiap individu berhak mempunyai cita-cita tetapi perlu bekerja keras untuk merealisasikan apa yang diidam itu.

“Siapa sangka gadis dari pekan kecil seperti saya mampu pergi jauh dan lakukan apa yang diinginkan? Apabila peluang tiba, lakukannya!,” katanya.

ANTARA babak menarik dalam filem Master Z: The Ipman Legacy.
ANTARA babak menarik dalam filem Master Z: The Ipman Legacy.

Bermula sebagai pelakon ganti aksi lagak ngeri, Max Zhang Jin akhirnya diberikan kepercayaan membawakan watak utama dalam Master Z: The Ipman Legacy.

Dia pernah tampil dalam beberapa filem aksi antara­nya SPL 2: A Time For Consequences, Ip Man 3 dan epik bela diri Wong Kar, The Grandmaster.

Menerusi cerita berasi­ngan dari francais Ip Man, Zhang, 43, yang pernah memenangi gelaran Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Filem Hong Kong ke-33 atas persembahan menariknya menerusi filem The Grandmaster, melakonkan kembali wataknya sebagai pahlawan Wing Chun bernama Cheung Tin Chi.

“Filem ini lebih banyak aksi berbanding IP Man 3. Yuen sebagai pengarah memberitahu tiada yang mustahil untuk dilakukan dan meminta barisan pelakon melakukan aksi bertarung yang tidak dapat dibayangkan,” katanya.

Zhang yang mengahwini pelakon Hong Kong, Ada Choi mendedahkan apabila tercedera ketika penggambaran, dia akan menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan keluarga.

“Saya tidak mahu mereka bimbang, terutama anak saya yang kini berumur enam dan empat tahun.

“Melihat mereka gembira sudah cukup untuk hilangkan rasa penat. Mereka seperti ‘powerbank’ yang menyalurkan tenaga apabila saya kepenatan selepas penggambaran,” katanya.

GARUNA bersama Michelle.
GARUNA bersama Michelle.

Meskipun nampak ganas sebagai bekas atlet gusti, Dave Bautista sebenarnya sangat berhemah ketika ditemu bual.

Pelakon filem Guardians Of The Galaxy Vol 2 ini menjelaskan dia masih dalam proses membiasakan diri dengan suasana kerja di Asia.

“Di Hollywood, pelakon ada banyak masa untuk berlatih. Namun di Asia, segalanya bergerak dengan pantas dan hampir tiada masa untuk berlatih babak saya,” katanya.

Bautista, 48, berkata, dia suka melihat pengarah Yuen Woo-ping melakukan keajaibannya di sebalik kamera.

“Beliau ikonik dalam industri perfileman. Saya sering mendengar kisah yang baik mengenainya dan tak pernah terlintas di fikiran dapat bekerja dengan beliau.

“Saya suka melihat cara kerjanya di set, kenapa dia rakamkan subjeknya sebegitu dan sebab di sebalik setiap rakaman,” katanya.

ROMBONGAN media Malaysia bergambar kenangan dengan Michelle.
ROMBONGAN media Malaysia bergambar kenangan dengan Michelle.

Filem Master Z: IP Man menampilkan Michelle sebagai Cho Yan Juan, ketua masyarakat kumpulan rahsia di Hong Kong.

Di sebalik keganasan yang sentiasa dikaitkan dengan kumpulannya, Cho memiliki hati yang baik. Dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada kumpulan itu dan hidup dengan lebih baik.

Bagaimanapun, apabila musuh ketat bernama Davidson (Dave Bautista) menonjolkan diri dan mencabar pakar bela diri tempatan Cheung Tin Chi (Max Zhang Jin) untuk berlawan, Cho rasakan sudah sampai masanya untuk dia kembali bagi menyelesaikan perkara itu.

Master Z: The Ipman Legacy akan menemui penonton di Malaysia bermula 25 Disember ini.

Wartawan dibawa oleh Lotus Five Star mengikuti penggambaran filem Master Z: The Ipman Legacy di Foshan, China pada Julai 2017)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 11:53 AM