GAMBAR yang dimuat naik Zizi Kirana dalam keadaan seksi di Instagramnya yang dikecam netizen. FOTO Ihsan Zizi Kirana
GAMBAR yang dimuat naik Zizi Kirana dalam keadaan seksi di Instagramnya yang dikecam netizen. FOTO Ihsan Zizi Kirana
Georgie Joseph


PENYANYI Zizi Kirana enggan ambil peduli dengan komen netizen yang melabelkan dirinya seperti bintang filem lucah kerana kerap memuat naik gambar berpenampilan seksi di Instagramnya.

Zizi, 33, yang popular dengan lagu Nak Ke Tak Nak, Lepak Mamak ini berkata, dia tidak berkecil hati dengan komen sebegitu kerana mereka tidak mengenali siapa dirinya yang sebenar.

“Apabila mereka melihat dari sudut negatif, memang negatiflah jadinya. Suka hatilah mereka dengan tafsiran imaginasi sendiri melihat foto-foto itu.

“Saya tidak peduli dan tidak pasti apa sebenarnya yang mereka cuba buktikan dengan melabel saya sedemikian rupa. Ibu saya sendiri tidak bising pun dengan cara penampilan saya ini,” katanya.

Penyanyi itu juga tidak merancang untuk menutup ruangan komennya dan membiarkan saja pengikutnya bebas memberikan komen.

“Tidak terfikir langsung sampai nak tutup ruangan komen walaupun saya banyak mendapat komen negatif. Biarlah mereka sesuka hati meninggalkan apa saja komen.

“Kalau saya tutup pun, mesti ada yang akan tetap cari jalan untuk komen mengenai saya di tempat lain pula. Ibaratnya seperti viruslah, komen-komen sebegitu memang akan merebak ke mana-mana,” katanya.

Dalam pada itu, Zizi juga menafikan penampilannya semakin seksi adalah gimik untuk sebarang projek akan datang.

“Bukan gimik pun. Tiada kaitan dengan lagu akan datang disebabkan saya pun baru lancarkan single baru,” katanya yang baru tampil dengan lagu berjudul Siapa Yang Bap Bap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 12:25 PM