AYU Puteh bersama Aiman. FOTO Arkib NSTP
AYU Puteh bersama Aiman. FOTO Arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari.


“SAYA tahu beberapa status dan 'posting' yang dimuat naik ke laman Instagramnya, kelmarin ditujukan kepada saya,” kata Datuk Normashayu Puteh, 42, atau Ayu Puteh.

Luahan itu susulan isu dakwaan keretakan yang melanda rumah tangga Ayu Puteh dan suaminya, Aiman Ismail, 29, seperti dilaporkan Harian Metro, semalam.

Penerbit Pencil Pictures & Records Sdn Bhd itu mengakui kecewa kerana suaminya seolah-olah ‘membogelkan’ diri sendiri dengan mendedahkan isu rumah tangga di ruangan yang tidak sepatutnya.

“Adakah publisiti ini yang dia mahukan atau sesuatu yang sedang dirancang?

“Dari dulu asyik gaduh saja akan 'post' di laman sosial, tak kira hal kecil atau besar, padam gambar kawin dan tak balik rumah, tidur rumah kawan atau rumah maknya,” katanya.

Ayu berkata, di saat dia sedang berusaha menyelesaikan beberapa isu berkaitan untuk menyiapkan tiga filem yang masih dalam proses penggambaran, rumah tangganya pula dilanda badai.

Katanya, Aiman bukan 'budak-budak' dan sepatutnya berfikiran waras sebelum mendakwa isterinya curang tanpa bukti sahih yang boleh mengundang masalah serta membabitkan pihak lain yang tidak bersalah.

“Tuduhan dilempar suami itu adalah bersifat salah faham kerana terlalu cemburu buta hingga datang hasrat dengki untuk menjatuhkan nama baik saya kepada umum.

“Segala dakwaan dilemparnya adalah tidak berasas dan ramai saksi berada di tempat kejadian termasuk suami sendiri ketika isu ini timbul beberapa hari lalu.

"Saya tidak pernah mahu malukan dia tapi sesuatu harus dilakukan untuk sedarkan dia supaya jadi lebih baik walau pun bukan untuk saya,” katanya.

Katanya, dia sengaja membiarkan Aiman berada di rumah ibu bapanya jika keadaan itu lebih menenangkan fikirannya.

“Untuk pengetahuan, saya tidak pernah halau atau bercakap mengenai isu keluar rumah ini.

“Dan apabila dia sendiri mencipta sistem tidak balik rumah setiap kali ada masalah, saya percaya itu salah dia,” katanya.

Tanpa berselindung, Ayu Puteh mengakui anak-anaknya juga terkesan dengan keadaan yang berlaku dalam keluarga sehingga memaksa mereka untuk turut masuk campur.

Sebelum ini, rumah tangga Ayu Puteh dan suaminya yang dibina sejak Januari tahun lalu bergolak apabila Aiman memuat naik foto mendakwa wujud pihak ketiga di laman sosial Instagramnya, kelmarin.

Isu terbabit menjadi lebih panas apabila anak Ayu Puteh iaitu penyanyi dan pelakon, Wanna Ali, turut meninggalkan komen, namun dipadam tidak lama kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 2:00 PM