MASYA enggan ambil pusing mengenai apa yang diperkatakan. FOTO - Arkib NSTP.
MASYA enggan ambil pusing mengenai apa yang diperkatakan. FOTO - Arkib NSTP.
Sudirman Mohd Tahir


"ITU memang ‘style’ saya dan selalu pakai begitu. Mungkin disebabkan sudut kamera membuatkan penampilan saya nampak pelik terutama bahagian kaki," kata penyanyi remaja Masya Masyitah, 18, yang tular berikutan gaya pemakaian yang dianggap pelik dan tidak sesuai dengan imej wanita muslimah.

Penampilan Masya dalam program Hlive! ketika mempersembahkan lagu Halimunan, Khamis lalu tular disebabkan seluar yang dipakainya menampakkan bentuk kaki.

Pengguna akaun Facebook, Amal Tajuddin yang berkongsi gambar itu di 'page' Kelab Janda & Duda Terlajak Laris memuat naik status yang mempersoalkan adakah gaya pemakaian itu fesyen terbaru kaum Hawa hingga menyerlahkan bentuk kaki yang comel.

Masya atau nama sebenarnya Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff ketika dihubungi berkata, dia tidak mahu melatah atau menyalahkan pengguna laman sosial.

Katanya, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dalam soal pemilihan pakaian bagi mengelak perkara sama berulang.

"Saya baru dapat tahu perkara ini tular kelmarin apabila dimaklumkan seorang rakan. Saya tengok pun tergelak sebab kelihatan pelik.

“Saya memang kecil dan kurus, tetapi tidaklah nampak ‘keding’ sangat seperti yang tersebar. Selama ini saya pakai gaya yang sama okey saja. Mungkin apabila dalam TV ia nampak lain.

“Namun, selepas ini saya akan berhati-hati dan memakai pakaian yang longgar sikit," katanya kepada Harian Metro.

Masya yang juga juara program Ceria Popstar 2 tidak mahu ambil pusing dengan apa yang diperkatakan.

"Saya baca setiap komen yang ditulis. Memang teruk juga saya kena, tetapi saya diam saja kerana kalau dibalas, isu ini akan bertambah panjang.

"Bagi saya, ia bukan perkara serius dan tidak perlu diperbesarkan. Namun, ia tetap jadi pengajaran untuk saya selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 1:11 PM