ARA Johari enggan masuk campur isu foto penyanyi Ismail Izzani dengan pelakon Zarina Ann Joulie yang tersebar (gambar kecil). FOTO Najiy Jefri
ARA Johari enggan masuk campur isu foto penyanyi Ismail Izzani dengan pelakon Zarina Ann Joulie yang tersebar (gambar kecil). FOTO Najiy Jefri
Najiy Jefri


PENYANYI Ara Johari enggan masuk campur isu foto penyanyi Ismail Izzani dengan pelakon Zarina Ann Joulie yang tersebar di laman Twitter sejak Jumaat lalu.

Ara yang pernah digosipkan bercinta dengan Ismail berkata, dia berharap insiden yang menimpa dijadikan pengajaran buat penyanyi itu.

“Isu yang berlaku ini adalah privasi dia dan saya tidak mahu masuk campur.

“Bagi saya apa yang berlaku, sudah pun terjadi dan tidak boleh diulang semula masa .

“Cuma saya harap dia ambil setiap yang berlaku ini sebagai pengajaran dan jangan mengulanginya pada masa mendatang,”katanya ketika ditemui pada majlis Teh Tarik Place francais kedua di Selayang, semalam.

Menurut Ara, dia tidak tahu bilakah kejadian terbabit berlaku dan tidak pernah tahu Ismail berkawan dengan Zarina serta pelakon Fathia Latiff sebelum ini.

“Saya tidak tahu lokasi serta tarikh mereka berjumpa. Malah saya juga tidak faham apa motif pelakon itu memuat naik gambar mereka bersama hingga menjadi tular.

“Selama berkawan dengan Ismail saya tidak pernah tahu yang dia berkawan dengan Zarina dan Fathia. Kemungkinan mereka berjumpa di lokasi yang sama ketika itu,”katanya.

Ditanya adakah Ismail ada menghubunginya, Ara memberitahu penyanyi terbabit ada mengajaknya berjumpa pada Jumaat lalu.

“Saya minta dia untuk tidak melayan komen-komen buruk yang dilemparkan serta menutup ruangan komen buat sementara waktu.

“Ini kerana, komen terbabit akan membuatnya tertekan sebab saya sendiri yang membaca berasa sedih dan marah apabila kebanyakan netizen menghentamnya.

“Bagaimanapun saya puji cara Ismail mengawal isu yang berlaku. Dia sangat tenang meski dalam hatinya tiada siapa yang tahu,”katanya.

Terdahulu anak kepada penyanyi Datin Seri Suliza Salam sekali lagi menjadi perhatian apabila foto mesranya seperti berpeluk dengan pelakon Zarina Ann Joulie dipercayai di sebuah kelab malam tersebar di Twitter.

Foto itu pada awalnya dimuat naik oleh rakan baik Zarina, 32, iaitu Fathia Latiff di Instagramnya.

Bagaimanapun, Fathia memadam gambar terbabit tidak lama kemudian selepas pengikutnya menghentam Zarina yang berpakaian seksi dalam foto berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 11:59 AM