EZA Edmond
EZA Edmond
Norhayati Nordin

Walaupun single solo pertamanya, Bahagia jarang berkumandang di stesen radio, jumlah tontonan di YouTube sudah mencecah lebih tiga juta.

Namun, penyanyi baru Eza Edmond, 20, tidak melatah dan lebih selesa melihat ke arah yang positif.

Menyedari masih baru dan kurang dikenali, dia tetap bersyukur Bahagia diterima baik pendengar.

Katanya, dia sendiri tidak menduga lagu itu berjaya diterima baik peminat di YouTube.

“Saya bersyukur saja dengan penerimaan baik itu walaupun jarang dimainkan di stesen radio. Terima kasih buat pelayar YouTube yang menerima baik single ini termasuk memberi komen positif.

“Sokongan itu dijadikan pembakar semangat untuk terus berjuang dalam kerjaya seni ini,” katanya yang kini menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang muzik di institusi pengajian tinggi tempatan.

Eza atau nama sebenarnya Eza Hafizah Edmond berkata, dia perlu membahagikan masa di antara nyanyian dan pelajaran.

“Biarpun pembabitan dalam muzik bersandarkan minat, pelajaran juga sangat penting.

“Jadi, dalam soal ini saya memilih kedua-duanya bergerak seiring sebagai jaminan masa depan nanti,” katanya.

Terdahulu, Eza pernah muncul secara duo bersama rakannya, Aruu menerusi single Kawan (Sila Meninggal) yang tular di platform digital.

Namun, Aruu akhirnya memilih meneruskan perjuangan muziknya sendiri di negeri kelahiran, Sabah.

Tidak gentar persaingan daripada penyanyi lain, Eza yang berasal dari Sabah amat yakin dengan bakat dan kebolehannya.

Bernaung di bawah Sheikh Qalam Records Sdn Bhd, single Bahagia dipertaruhkan Eza hasil ciptaan komposer baru, Hazmi Fahim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 1:06 PM