LAGU Bahagia nyanyiannya mendapat sambutan di Indonesia hingga ramai minta kebenaran dirakam semula.
LAGU Bahagia nyanyiannya mendapat sambutan di Indonesia hingga ramai minta kebenaran dirakam semula.
Najiy Jefri


Lagu rakamannya berjudul Bahagia sebelum ini yang dihasilkan pada 2017 berjaya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Bagaimanapun, impak lagu nyanyian Eza Edmond ini dilihat semakin menjadi-jadi semula apabila kembali tular di Indonesia ketika ini.

Bagi gadis berusia 23 tahun ini, dia sebenarnya tidak menyangka sambutan yang diberikan oleh masyarakat di Indonesia kali ini begitu dahsyat sehinggakan ramai yang meminta kebenaran untuk merakamkan semula lagu berkenaan.

"Ini memang sesuatu yang di luar jangkaan. Dulu lagu ini sudah tular di sana selepas dilancarkan berdasar pada komen yang mereka tinggalkan pada muzik video. Bahkan, ada juga yang memuat naik video sendiri sehingga mendapat jutaan tontonan.

"Kini lagu Bahagia sekali lagi tular di sana. Pelbagai versi sudah dibuat oleh banyak pihak dan ia sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada saya yang masih belum dikenali ramai ini," katanya.

Semuanya bermula apabila lagu itu diolah semula oleh beberapa orang deejay (DJ) popular di negara jiran itu di dalam pelbagai versi termasuklah remix dan sebagainya.

Antara deejay yang tertarik dengan lagu berkenaan termasuklah DJ Komang yang sememangnya popular di sana. Muzik versi remix yang diadun tular di aplikasi TikTok seterusnya, menambahkan lagi populariti lagu berkenaan.

Malah, versi remix yang dibuat juga dimuat naik ke YouTube dan ditonton lebih 20 juta kali.

Sehingga ke hari ini, sudah lebih 20 syarikat muzik dan lebih 30 penyanyi dari negara seberang itu meminta kebenaran daripada syarikat rakaman naungan Eza iaitu Sheikh Qalam Records untuk merakamkan semula lagu berkenaan.

Ada di antara mereka sudah merakamkan semula lagu berkenaan dalam bahasa Jawa dan pelbagai bahasa kaum di sana serta mengeluarkannya semula di YouTube. Ada juga yang meminta kebenaran untuk mengubah lagu Bahagia kepada versi lain seperti jazz, dangdut, rock dan akustik.

"Tak tergambar dengar kata-kata apabila lagu ini menjadi sebegitu besar di sana (Indonesia) ketika ini.

"Saya anggap ini rezeki kepada semua yang terlibat dalam pembikinan lagu Bahagia. Mereka sangat bekerja keras dahulu dan hasilnya baru dapat dilihat dan dirasai sekarang.

"Setidaknya dengan sambutan yang diberikan itu membuatkan saya mahu bekerja lebih keras lagi untuk menempatkan nama dalam industri," kata anak kelahiran Papar, Sabah ini lagi.

Tambah Eza lagi, dia gembira apabila lagu berkenaan juga dinyanyikan oleh Bulan Sutena, salah seorang penyanyi baharu di salah sebuah stesen TV di sana.

Impak daripada persembahan berkenaan, semakin ramai yang mula mencari penyanyi asal walaupun lagu berkenaan ditukar tajuk kepada Setiap Yang Ku Lakukan Untuk Mu.

"Apapun, saya mahu berterima kasih kepada Hazmi Fahim yang menciptakan lagu yang indah ini. Dan juga kepada semua peminat, terima kasih kerana terus memberikan semangat kepada saya sejak dari dulu.

"Insya-Allah ada sesuatu yang besar akan saya lalukan sedikit masa lagi. Apa-apa pun kena tunggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 6:44 AM