ANNA Kendrick
ANNA Kendrick
Georgie Joseph

Kisah cinta dalam kalangan artis Hollywood adalah perkara paling mudah dihidu paparazi.

Sukar menyorokkan hubungan mereka apabila ‘mata-mata’ ada di mana-mana saja.

Bagaimanapun, Anna Kendrick berjaya merahsiakan status sebenarnya sama ada dia sedang menyulam cinta atau masih solo.

Pelakon berusia 33 tahun itu mengambil pendekatan untuk tidak membuka kisah cintanya.

Adakah pelakon filem Pitch Perfect itu benar-benar masih solo? Atau dia sebenarnya cukup bijak menyembunyikan hubungannya dengan seseorang?

Ia disebabkan ada sumber mengatakan dia memang bercinta dengan seorang pakar sinematografi yang dikenali sebagai Ben Richardson.

Lebih mengejutkan, mereka dilaporkan sudah menjalin hubungan sejak empat tahun lalu.

Pelbagai pihak membuat percubaan untuk mengesahkan hubungan berkenaan namun gagal. Pihak pengurusannya juga tidak mahu memberi sebarang komen.

Anna dan Ben dikatakan mula berkenalan pada 2013 di sebuah set penggambaran sebelum dipertemukan lagi pada tahun seterusnya.

Walaupun mereka mengunci mulut mengenai status masing-masing, bulan lalu pasangan berkenaan dilihat bersama di sebuah lapangan terbang, sekali gus ia menguatkan dakwaan memang mereka ada hubungan cinta.

Tidak lama dulu, Anna sebenarnya sangat terbuka apabila membincangkan mengenai kisah cintanya.

Dia pernah berkongsi bagaimana memutuskan hubungan dengan seorang lelaki hanya kerana tidak tahan digeletek.

Barangkali alasannya itu kedengaran lucu, namun jelas pelakon berkenaan berpegang kepada prinsipnya.

“Saya sedang bercinta dengan seseorang ketika itu. Dia suka bermain dan menggeletek tapi itu adalah perkara yang paling saya tidak suka orang lakukan ke atas saya.

“Apabila digeletek, saya mudah rasa seperti terperangkap dan panik. Saya tahu perkara itu mungkin bodoh dan lucu buat sesetengah orang tapi saya benci diperlakukan begitu,” katanya dalam satu temu bual.

Dia juga mengakui pasti ramai yang akan menganggapnya wanita gila hanya disebabkan perkara itu.

Bagaimanapun, menurutnya seseorang perlu menghormati permintaannya jika mahu dia menghormati mereka.

“Jika saya beritahu satu perkara yang sangat penting di mata saya dan anda tidak menghormatinya, saya akan lepaskan anda pergi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anna bakal tampil dengan sebuah filem berjudul A Simple Favor pada bulan depan.

Dia turut bergandingan dengan Blake Lively dan pelakon kelahiran Malaysia, Henry Golding dalam filem berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 1:01 PM