Siti Sarah. FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Siti Sarah. FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Sudirman Mohd Tahir


TIKET untuk menyaksikan persembahan Siti Sarah Special Showcase yang akan berlangsung pada 6 Julai ini di Dewan Tunku Abdul Rahman, Matic, Kuala Lumpur sudah terjual 50 peratus.

Siti Sarah atau Siti Sarah Raisuddin, 34, berkata dia teruja untuk menjayakan persembahan itu selepas hampir 10 tahun tidak menyanyi pada skala besar.

"Kalau ditanya mengenai perasaan sekarang, sejujurnya saya teruja. Dalam masa sama, rasa gementar dan takut tetap ada. Jika ambil kira soal persembahan, sudah lama saya tidak menjayakan acara sebegini.

"Alhamdulillah, sejak saya mengumumkan perkara ini ramai yang mula mesej secara terus (Direct Message) bagi memberikan sokongan. Ia sekaligus membuatkan saya berdebar.

"Namun, saya jadikan ia pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik. Kalau boleh persembahan malam itu lebih dekat dengan penonton. Saya nak 'enjoy' bersama mereka," katanya kepada Harian Metro.

Pada persembahan itu, Sarah bakal menyanyikan 24 lagu popular nyanyiannya serta lagu daripada penyanyi lain yang ada kena mengena dengan dirinya.

Menurut Sarah, persembahan anjuran Indigital Sdn Bhd & MRS Production itu turut mendapat sentuhan pengarah muzik, Faizal Uzir atau Lok U.

"Memandangkan persiapan dari segi latihan kurang dari sebulan, saya mengharapkan Lok U membantu saya dari segi susunan lagu.

"Selepas pulang dari mengerjakan umrah, masa saya sangat terhad. Jadi, masa yang ada pun beberapa hari selepas sambutan Aidilfitri.

“Sebelum masuk latihan dengan Lok U, saya mengadakan latihan sendiri," katanya.

Tiket persembahan masih dijual dan boleh menghubungi Hotline di nombor 017-760 3221 dan 03-7732 0244 pada harga RM149 (VIP Zone) dan RM129 (Normal Zone).

Bagi pembeli tiket akan disertakan dengan Sabun Kolagen dan Vitamin C dari Pinky Pinky keluaran Sarah sendiri yang bernilai RM39 setiap satu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 3:28 PM