Berat badan Aishah menurun sebanyak 20 kilogram sejak Februari lalu.
Berat badan Aishah menurun sebanyak 20 kilogram sejak Februari lalu.
Amirul Haswendy Ashari


PENYANYI popular dengan lagu Janji Manismu, Wan Aishah Wan Ariffin, 53, mengakui berat badannya turun lebih 20 kilogram selepas menjalani pembedahan Bariatrik pada 27 Februari lalu.

Pembedahan Bariatrik adalah kaedah selamat untuk mengatasi masalah berat badan berlebihan dengan kesan kegemukan ketara atau obesiti.

“Dulu berat saya 110 kilogram menyebabkan banyak masalah kesihatan seperti darah tinggi dan diabetis, malah apabila menyanyi pun jadi penat.

“Minggu pertama selepas pembedahan, berat badan turun mendadak lebih dua kilogram sebab saya turut mengamalkan diet lembut,” katanya.

Aishah juga mengakui pasca pembedahan itu, dia tidak lagi boleh makan berlebihan seperti sebelum ini kerana makan dalam dua atau tiga suap sudah mengenyangkan.

Malah, dia juga tidak dibenarkan minum air menggunakan straw kerana dikhuatiri boleh menyebabkan gelembung udara memasuki saluran perut yang boleh mengundang komplikasi gastrik kembali menyerang.

Katanya, kesan kurang pengambilan jumlah makanan menyebabkan dia dapat mengurangkan bajet makanan selain boleh memakai semula pakaian yang pernah dipakai 10 tahun lalu.

“Dulu tengok baju-baju lama, saya hanya mampu pandang sahaja dan terfikir bilalah boleh pakai semula.

“Sekarang ini, syukur semua baju yang pernah dibeli beberapa tahun dulu sudah boleh dipakai, jimat sikit belanja,” katanya ketawa.

Juara Gegar Vaganza ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran poster filem Kalla, berkata kesan lain dirasai selepas pembedahan adalah sakit kaki yang pernah dialami serta pernafasan ketika membuat persembahan kini berubah semakin selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 3:55 PM