ANTARA penyanyi terbabit dalam projek lagu raya ini.
ANTARA penyanyi terbabit dalam projek lagu raya ini.
Sudirman Mohd Tahir


BUAT julung kalinya, stesen radio popular tanah air, Hot FM bekerjasama dengan syarikat rakaman 17 Eleven Music menghasilkan dua lagu raya iaitu Salam Dari Jauh dan Indahnya Syawal yang dilancarkan secara rasmi sejak 30 April lalu.

Menariknya, menerusi projek ini menyaksikan barisan penyanyi terkenal merakamkan lagu dan menyanyi bersama barisan penyampai radio Hot FM.

Penyanyi terdiri terdiri daripada Shila Amzah, Siti Nordiana, Ezwan Ariff, Adzrin, Achey, Zulin Aziz dan Amylea Azizan. Sementara penyampai pula adalah Mark Adam, Fizie, Riena Diana, Haziq, Deen, Fad dan Zetty.

Lagu Salam Dari Jauh dan Indahnya Syawal adalah ciptaan sepenuhnya Rudy Nastia, Shamin Nazri, Hafiz Karim dan Mubin Ismail.

Ketua Audiens Melayu Hot FM, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, projek ini sesuatu yang istimewa sekali gus dapat memeriahkan lagi sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini.

"Ini adalah projek khas bersama syarikat 17 Eleven Music untuk kami memeriahkan lagi raya tahun ini walaupun dalam keadaan pandemik. Kami nak bersama pendengar meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan lagu raya istimewa, Salam Dari Jauh dan Indahnya Syawal walaupun mungkin tak dapat beraya bersama kaum keluarga.

"Kami mendapat kerjasama yang baik daripada barisan artis yang terbabit serta semua penyampai Hot FM. Terima kasih juga kepada Rudy Nastia selaku Komposer juga penulis lirik untuk projek istimewa ini," katanya.

PENYAMPAI Hot FM turut merakamkan suara dalam lagu raya ini.
PENYAMPAI Hot FM turut merakamkan suara dalam lagu raya ini.

Menurut Azura, projek lagu raya itu mengembalikan semua kenangan Hot FM yang pernah menghasilkan lagu raya bersama beberapa artis terkenal lain pada 2012.

"Sebelum ini Hot FM pernah bekerjasama menghasilkan lagu raya. Ketika itu zaman penyampai Faizal Ismail, Fara Fauzana, AG dan ramai lagi. Kiranya, untuk tahun 2021 ini kami mengembalikan semula nostalgia itu dengan berkolaborasi pula dengan 17 Eleven Music.

"Apa yang penting, projek sebegini sedikit sebanyak mengeratkan lagi silatutahim kedua pihak sekali gus dapat memeriahkan industri hiburan tempatan dengan penerbitan lagu raya. Walaupun setahun sekali, tapi ia keceriaannya akan kekal diingati," katanya.

Boleh saksikan video muzik lagu Salam Dari Jauh dan Indahnya Syawal di Instagram TV (IGTV), Facebook Hot FM dan saluran YouTube 17 Eleven dan boleh didengar di frekuensi Hot FM juga platform muzik yang lain.

Sementara itu, Pengarah syarikat rakaman 17 Eleven Music, Roslan Adlie berkata, kerjasama dengan Hot FM memberikan satu lagi pengalaman berharga buat mereka.

Malah, Roslan berharap kedua lagu raya itu menjadi evergreen seperti kebanyakan lagu raya lain. Terima kasih buat pihak Hot FM yang sudi untuk berkolaborasi dan bekerjasama dengan pihak kami.

"Sempena Syawal ini, dua lagu raya ini adalah hadiah buat semua peminat yang sentiasa menyokong lagu dan artis di bawah 17 Eleven Music selain menjadi pendengar setia Hot FM. Idea ini timbul apabila memikirkan raya tahun ini disambut dalam suasana sederhana. Ditambah apabila kerajaan melaksanakan larangan rentas negeri atau balik kampung.

"Tentu saja situasi ini akan menggamit memori beraya di kampung bersama keluarga dan sanak saudara. Jadi, kami menghasilkan dua lagu yang menggambarkan situasi semasa. Sekurang-kurangnya, lagu ini dapat menceriakan suasana.

"Paling penting, apa yang diharapkan juga adalah kedua lagu ini dapat diterima baik peminat dan pendengar sekali gus menjadi lagu malar segar sampai bila-bila. Terima kasih kepada penyanyi dan penyampai yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 6:49 AM