Eizlan menerima watikah lantikan APM dari Azmy (beret biru). FOTO Angkatan Pertahanan Awam (APM)
Eizlan menerima watikah lantikan APM dari Azmy (beret biru). FOTO Angkatan Pertahanan Awam (APM)
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON, Datuk Seri Eizlan Yusof menerima pentauliahan Leftenan Kolonel (Bersekutu) Angkatan Pertahanan Awam (APM) daripada Ketua Pesuruhjaya APM, semalam.

Majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Watikah Lantikan Pegawam (Bersekutu) Angkatan Pertahanan Awam Wilayah Persekutuan itu diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, kelmarin.

Eizlan dihubungi Harian Metro, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada tiga individu memberi peluang itu kepadanya.

Mereka adalah Ketua Pesuruhjaya APM, YAS Mejar Jeneral Datuk KPj (PA) Azmy Haji Yahya; Komandan CDERT Ohhsem APM, Datuk Paduka Fyzal dan rakan baik Eizlan, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Ahmad Idham.

“Saya tidak akan menerima penghargaan ini semata-mata untuk pangkat dan nama sahaja tetapi akan bergerak aktif dengan APM mengikuti beberapa kursus diwajibkan kepada setiap anggota.

“Saya mahu mengambil peluang ini untuk membantu serta memberi sokongan kepada divisyen selam skuba dan beberapa divisyen lain memerlukan khidmat saya,” katanya memiliki lesen skuba profesional dan tali pinggang hitam seni mempertahankan diri.

Eizlan kini berada di Pulau Perhentian meluangkan masa menjalani aktiviti selam skuba selama lima hari.

Imbas kembali, beliau dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 9:00 PM