Chacha terbabit kemalangan Januari lalu menyebabkannya trauma untuk memandu. FOTO IG Chacha
Chacha terbabit kemalangan Januari lalu menyebabkannya trauma untuk memandu. FOTO IG Chacha
Norhayati Nordin


PELAKON Chacha Maembong, 22, mengakui tidak kisah dilabel liar dan dikecam netizen kerana dia tidak mahu bersikap hipokrit.

Chacha atau nama sebenar Siti Aisyah Ismail berkata dia selesa menjadi diri sendiri meskipun kesal dan kecewa apabila dikecam segelintir netizen.

"Ya, kalau ada yang nak kata saya liar memang saya liar. Saya tidak seperti kakak saya, Emma. Terpulanglah, itu hak masing-masing.

"Bagi saya lebih baik menjadi diri sendiri daripada hipokrit dengan imej nampak baik dan bersih. Sedangkan realiti sebenar tidak seperti itu," katanya.

Chacha berkata dia ada juga mendapat nasihat daripada orang di sekelilingnya supaya berubah dan lebih baik lagi jika memakai tudung seperti Emma.

"Saya akan bertudung apabila sampai masanya dan tolong doakan yang baik-baik saja. Itu lebih bagus.

"Sebagai manusia biasa, tidak ada sesiapa pun yang sempurna. Jadi, apa saja kecaman dilemparkan, saya terima dengan positif.

"Pada saya, sekarang ini 'pembenci adalah peminat saya'. Walaupun ada kalanya dikecam di laman sosial tetapi ada juga di antara mereka yang 'like' foto saya," katanya.

Chacha berkata selama tujuh tahun aktif membina nama dan bakat dalam karier seni lakon, tidak dinafikan memang sering dipalit cerita sensasi.

"Apapun, yang penting setakat ini keluarga saya menerima dengan baik kerana mereka sangat mengenali siapa diri saya yang sebenar.

"Jadi, sokongan keluarga adalah kekuatan saya. Saya tidak kisah pun apa saja tanggapan orang lain asalkan keluarga saya tahu apa sebenarnya berlaku," katanya.

Pada hujung Januari lalu, Chacha dan rakan baiknya, Didi Astilah dilaporkan terbabit kemalangan jalanraya di Jalan Alor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur kira-kira jam 2 pagi selepas keluar makan bersama.

Kemalangan itu mengakibatkan kereta dipandu oleh Chacha rosak teruk.

Menurut Chacha, akibat kemalangan itu dia trauma memandu dan selesa bergerak ke mana saja menggunakan kenderaan awam atau ditemani pengurusnya.

#kw Chacha taknak hipokrit

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 8:00 PM