RIHANNA. FOTO AFP
RIHANNA. FOTO AFP
AFP

PENYANYI, Rihanna, semalam mengecam aplikasi mesej multimedia, Snapchat, selepas menyiarkan iklan yang memandang ringan kes beliau dipukul bekas teman lelakinya, Chris Brown.

Tindakan bintang pop berkenaan menyebabkan harga saham syarikat itu jatuh.

Landasan media sosial itu yang mempunyai 187 juta pengguna, terutama golongan muda, segera tertarik dengan siaran yang memaparkan iklan bagi ‘Siapa Pilihan Anda?’, aplikasi permainan yang kadang-kadang bertanyakan soalan provokatif.

Iklan terbabit menunjukkan gambar kedua-dua penyanyi dan meminta pengguna Snapchat memilih sama ada mereka mahu ‘menampar Rihanna’ atau ‘menumbuk Chris Brown’.

Syarikat terbabit menarik balik iklan itu dan meminta maaf tetapi Rihanna menggunakan saingan Snapchat, Instagram untuk mengecam syarikat itu.

“Anda memperuntukkan wang untuk menghidupkan sesuatu yang sengaja memalukan mangsa keganasan rumah tangga dan membuat jenaka mengenainya!

“Ini bukan mengenai perasaan saya, kerana saya tidak banyak mengalaminya, tetapi wanita, kanak-kanak dan lelaki mangsa keganasan rumah tangga pada masa lalu dan terutama mereka yang belum meluahkannya, anda mengecewakan kami! Kamu memalukan,” katanya.

Pengaruh Rihanna dalam industri mengakibatkan saham dalam syarikat induk Snapchat, Snap Inc, jatuh 3.64 peratus pada hari stabil di Wall Street.

Jurucakap Snapchat berkata, iklan memaparkan Rihanna dinilai dan diluluskan tanpa mengikut garis panduan pengiklanan.

“Kami segera membuang iklan itu minggu lalu sebaik menyedarinya.

“Kami meminta maaf kerana perkara ini berlaku,” kata jurucakap dalam kenyataan.

Terdahulu, Chris Brown didapati bersalah memukul Rihanna yang ketika itu teman wanitanya, pada tahun 2009. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 3:54 PM