SEARCH ketika di puncak kegemilangan satu ketika dulu.
SEARCH ketika di puncak kegemilangan satu ketika dulu.
Riadz Radzi

Konflik membabitkan band rock legenda, Search yang memuncak sejak Mei tahun lalu dilihat semakin reda, baru-baru ini.

Bagaimanapun, apabila Search yang dianggotai pemain gitar adik-beradik, Noordin (gitar) dan Kid (gitar) mengumumkan 'line-ups' baru iaitu penyanyi dari Indonesia, Denden Gonjales, Yan (bass) dan Pae (dram), Jumaat lalu, ia tiba-tiba panas kembali!

Bekas penyanyinya, Amy yang selama ini berdiam diri tiba-tiba membuka mulut mendakwa sikap tidak profesional dan masalah disiplin Noordin dan Kid menjadi punca dia berundur pada Mac 2020.

Dalam masa sama, pemain bass yang senada dengan Amy, Nasir Daud turut mempersoalkan tindakan dua beradik itu yang terus menggunakan nama Search untuk meneruskan 'survival' dalam bidang seni.

Malah, Nasir turut melabelkan Noordin dan Kid sebagai bekas anggota Search dan Search yang diteruskan dua beradik itu adalah Search palsu.

Yang pasti, kini sudah ada dua Search. Satu yang dianggotai Noordin, Kid, Yan, Pae dan Denden, manakala satu lagi dianggotai Amy dan Nasir yang turut disertai bekas pemain gitar Search, Hillary Ang dan Man Kidal.

Amy dan Nasir dilihat 'berkeras' mahu menggunakan nama Search atas alasan mereka adalah anggota asal bersama Hillary dan Man Kidal yang mengasaskan Search ketika berjuang di kelab-kelab rock seperti Red Rooster pada awal 1980-an.

Noordin dan Kid pula menegaskan mereka berhak meneruskan perjuangan Search kerana mereka adalah anggota yang kekal dalam Search sejak bermulanya konflik ini.

Bagaimanapun, dua beradik ini dilihat agak fleksibel dan tidak kisah jika pihak yang lagi satu mahu menggunakan nama Search asalkan konflik ini tidak berpanjangan.

Agaknya Search adalah band rock paling banyak kontroversi. Sejak penubuhannya kira-kira 40 tahun lalu, Search tidak sunyi dengan kontroversi dan konflik.

Memetik kata Noordin, konflik yang dihadapi ketika ini adalah yang paling teruk.

Apa yang berlaku ini membuatkan peminat Search terpecah dua. Media sosial menjadi medan tempat peminat menghentam Search terutamanya Amy dan Nasir.

Rata-ratanya kecewa dengan apa yang berlaku. Bukan kerana tak sukakan Search, tapi mereka sayangkan Search.

Saya sendiri sebagai peminat yang mengikuti perkembangan mereka sejak berusia 11 tahun juga kecewa.

Sebagai band rock yang dilabel nombor satu di negara ini, ini tidak sepatutnya berlaku.

Kita mungkin tidak faham apa yang dirasai mereka ketika berdepan konflik ini, tetapi tindakan memburuk-burukkan rakan-rakan dalam band sama ada di media sosial atau media arus perdana bukanlah sesuatu yang bijak.

Jalan terbaik untuk menyelesaikan konflik ini ialah Noordin, Kid, Amy dan Nasir perlu duduk semeja dan berbincang.

Luahkan segala masalah dan rasa ketidakpuasan hati masing-masing sebelum tampil dengan satu keputusan. Yang penting, letak tepi ego masing-masing.

Walaupun dalam keadaan sekarang ia seperti misi mustahil, tetapi tidak salah mencuba.

Jika betul dakwaan Amy bahawa Noordin dan Kid bermasalah dari segi disiplin, inilah masanya untuk mereka berubah dan masih belum terlambat.

Begitu juga dengan Amy dan Nasir, buktikan mereka sebenarnya tidak mengenepikan dua beradik itu seperti sangkaan peminat.

Selain itu, Search sebenarnya memerlukan seorang pengurus yang bijak, berwawasan, berani dan kental untuk menguruskan perjalanan band ini.

Dalam erti kata lain, perlu ada seorang lagi seperti Datuk Aziz Bakar yang sudah menguruskan Search dengan cemerlang satu ketika dulu.

Kini, kedua-dua kumpulan Search dianggotai sembilan pemuzik handalan iaitu Noordin, Kid, Yan, Pae, Denden, Amy, Nasir, Hillary dan Man Kidal.

Sejak tampil dengan album sulung, Cinta Buatan Malaysia pada 1985, Search sudah memiliki 26 album termasuk 12 album studio, lima album kompilasi (rakaman semula dan 'featuring' lagu baru), dua album duet bersama Wings dan tujuh album live.

Dalam semua album itu, Amy dan Noordin terbabit dalam rakaman 24 album, Amy (23 album), Nasir (20 album), Kid (19 album) , Hillary (enam album), Yan (tiga album), manakala Man Kidal dan Pae masing-masing satu album.

Semoga Search kembali ke landasannya.

Penulis Pengarang Hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:15 AM