Zulin terkejut gambar disunting FOTO Arkib NSTP & Instagram Zulin
Zulin terkejut gambar disunting FOTO Arkib NSTP & Instagram Zulin
Nor Akmar Samudin


Penyampai radio Suria FM Zulin Aziz, 28, pula menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab apabila gambarnya disunting menjadi foto lucah dan dihantar ke laman Twitternya.

Menurut Zulin, ketika membuka Twitternya kelmarin, dia dikejutkan dengan beberapa gambarnya bertudung tetapi badan orang lain.

Zulin berkata individu itu menggunakan akaun Twitter palsu untuk memuatnaik gambarnya itu di laman sosial berkenaan dengan kapsyen lucah.

“Sejak bergelar artis, ini pengalaman pertama saya menerima gangguan lucah sebegini. Saya sudah minta peminat melaporkan kepada pihak Twitter agar akaun palsu itu dipadamkan.

“Memang sah bukan tubuh saya kerana ‘orang’ dalam gambar itu sangat gemuk. Walaupun itu bukan saya dan sedia maklum ia disunting, saya tetap terkejut kerana ada individu tergamak melakukannya.

“Saya rasa akaun Twitter itu milik seorang wanita atau remaja kerana suntingan gambar dan kata-katanya agak keanak-anakkan,” katanya.

Zulin dengan tegas memohon individu terbabit tidak mengulangi perbuatan itu kerana ia sangat mengaibkan.

“Bukan setakat menjatuhkan air muka saya, perbuatan itu juga boleh mengundang musibah lebih besar jika ada yang salah faham.

“Dia turut menghantar video lucah di Twitter. Gunakan media sosial secara betul dan janganlah cuba meraih populariti dengan cara begini,” katanya.

Zulin berkata, dia tidak akan membuat laporan polis tetapi jika perkara sama berulang dia terpaksa melaporkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 7:21 PM