Amirul Haswendy Ashari


Hendak dinilai daripada usia mereka dalam industri muzik Korea, kumpulan Kpop menggelarkan diri sebagai Snuper ini masih baru dan mentah.

Namun, usaha mereka untuk melakukan aktiviti kebajikan berjaya menarik perhatian umum sehinggakan kemunculan Snuper dalam industri muzik diakui ramai.

Snuper baru sahaja menjadi sukarelawan sebuah pusat perlindungan haiwan di mana mereka membersihkan serta menjaga anjing di pusat itu.

“Orang ramai sering mengaitkan kami dengan ‘Snoopy’ sejak awal kemunculan. Jadi kami berasakan telah wujud satu hubungan istimewa antara kami dengan anjing terbiar yang diberikan perlindungan di sini.

“Tambahan pula selepas menonton berita banyak anjing ditinggalkan, kami ambil keputusan untuk turun padang dan membantu,” kata Snuper.

Aktiviti kebajikan dan sukarelawan itu bukan kali pertama dilakukan. Mereka pernah menyertai kerja amal anjuran Salvation Army bersama agensi mereka, WIDMAY Entertainmnet pada musim sejuk tahun lalu.

Selain itu, mereka juga terbabit dalam beberapa kempen lain seperti pencegahan isu buli di sekolah dan jenayah siber.

Pun begitu, kumpulan itu berdepan dengan situasi di luar jangkaan ketika melakukan sesi promosi pada sebuah acara persembahan jalanan, minggu lalu.

Snuper didakwa diserang ketika membuat persembahan secara ‘busking’ untuk mempromosi album baru berjudul The Star of Stars di kawasan popular, Myeongdong, Seoul.

Rakaman serangan itu berjaya diambil seorang peminat yang menonton sesi promosi itu.

Ahli kumpulan dilihat berdiri sambil menunggu sesi persembahan mereka bermula apabila tiba-tiba sahaja seorang wanita berusia muncul dan menumbuk perut Taewoong.

Wanita itu juga dilihat menjerit ke arah mereka kerana mendakwa persembahan Snuper mengganggu urusan bisnes mereka di situ.

Wakil agensi berkata, tanpa diduga Snuper terbabit dalam insiden yang sedikit tegang ketika ‘busking’ di Myeongdong.

“Memang ada serangan ke atas mereka tetapi tiada kejadian buruk berlaku. Snuper memohon maaf kepada pemilik perniagaan di kawasan terbabit dan mengharapkan mereka dapat meneruskan aktiviti seperti biasa,” kata wakil agensi Snuper.

Biarpun Snuper baru dalam industri, single Jepun kedua mereka berjudul Oh Yeah! berjaya menduduki carta di negara matahari terbit itu.

Ini menunjukkan usaha promosi mereka melalui konsert SNUPER 1st Live Tour 2017 ke Tokyo, Osaka, Nagoya dan beberapa tempat lagi sudah membuahkan hasil.

Selepas muncul tahun 2015, Snuper sering berada di tempat ketiga dan enam dalam carta di Jepun. Mereka sering menggunakan pendekatan persembahan jalanan ‘busking’ untuk menarik peminat baru.

Album mini ketiga mereka berjudul Rain Of Mind turut mendapat perhatian peminat Kpop tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 3:42 AM