ZULIN Aziz
ZULIN Aziz
Sudirman Mohd Tahir


Single berjudul Terbiar yang dilancarkan Zulin Aziz pada Mac lalu dikatakan tidak mendapat sambutan peminat muzik tempatan.

Ia juga kurang dimainkan di stesen radio sekali gus ramai beranggapan percubaan Zulin menjadi penyanyi gagal.

“Saya akui perkara itu, tapi sambutan di media sosial masih okey. Ingin dijelaskan single itu bukanlah untuk membuktikan betapa serius saya nak menjadi penyanyi tetapi sebagai hadiah kepada peminat.

“Sekurang-kurangnya ada satu produk daripada saya untuk mereka ingat terutama kepada peminat yang tak berhenti memberi sokongan. Pendek kata menyanyi ini sekadar suka-suka dan tidak pernah terlintas untuk bersaing dengan penyanyi hebat sedia ada,” katanya.

Zulin berkata, jika ada pihak menganggap itu satu kegagalan, dia tidak kecewa malah jauh sekali patah semangat.

Menurut Zulin, dari awal lagi dia sedar risiko yang bakal diterima terutama dari segi sambutan stesen radio lain kerana dia penyampai radio Suria FM.

“Saya terima hakikat itu. Namun, peminat masih menyokong dan mendengar lagu itu. Lagipun, sekarang banyak aplikasi muzik yang mereka boleh pilih. Pada masa sama mereka juga boleh menonton video muzik lagu ini di YouTube.

“Alhamdulillah, selepas hampir lima bulan dilancarkan sambutannya bagus iaitu mencecah 500,000 tontonan. Jumlah itu satu pencapaian untuk saya dan maklum balas diterima juga positif,” katanya.

Tidak mahu berhenti setakat itu saja, Zulin berkongsi dia bakal merakamkan single kedua tidak lama lagi.

Pada masa sama, Zulin juga mencipta sebuah lagu buat sahabat baiknya iaitu Ariz Forteen berjudul Menjauh.

Selesa sebagai penyampai radio

Ditanya mengenai kerjaya lakonan yang mula-mula membawa namanya, Zulin berkata, dia mengorbankan minatnya itu demi keperluan masa depan.

“Buat masa sekarang saya tak ada masa nak berlakon. Jadual kerja saya sebagai penyampai radio membataskan perkara itu. Tawaran masih ada, cuma saya terpaksa menolak dengan cara baik. Bukan apa, kalau saya terima bimbang nanti menyusahkan pihak produksi.

“Saya tak nak disebabkan masa saya seorang, semua pihak kena ikut jadual saya. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk berehat seketika. Insya-Allah kalau ada rezeki tak ke mana. Bagi saya, apa yang ada sekarang cukup untuk saya dan keluarga,” katanya.

Mengenai kerjaya penyampai radio pula, Zulin baru saja menyambung kontrak selepas setahun menjayakan segmen Suria Pagi bersama Fizi Ali dan Halim Othman.

Namun bagi tahun kedua ini, tempat Halim digantikan dengan pelawak Shahrol Shiro.

“Dalam tempoh setahun ini saya semakin selesa menjadi penyampai radio. Biarpun perlu berada di konti seawal jam 4 pagi, ia menyeronokkan. Lama-kelamaan ia seperti rutin biasa.

“Cuma dengan Shahrol saya masih mencari rentak dan membiasakan diri. Memandangkan dia pelawak, saya ‘feeder’ dan dia ‘killer’. Dalam erti kata lain, kami saling memberi. Tak ada istilah siapa yang nak ke depan atau lebih. Apa saya boleh katakan, Shahrol tak lokek idea,” katanya.

Zulin berkata, biarpun ada ketika perlu menghiburkan pendengar dengan lawak spontan dia masih perlu menjaga sensitiviti.

Insiden segelintir penyampai radio yang dihentam peminat menjadi pengajaran untuknya agar lebih berhati-hati dalam setiap perkara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 1:32 PM