NUSRAT Fateh legenda Qawwali sepanjang zaman.
NUSRAT Fateh legenda Qawwali sepanjang zaman.
RAHAT Fateh mula menyanyi Qawwali pada usia 11 tahun.
RAHAT Fateh mula menyanyi Qawwali pada usia 11 tahun.
Syanty Octavia Amry


Penyanyi Qawwali, Rahat Fateh Ali Khan bakal tampil dengan sebuah konsert The Tribute Tour 2017 yang akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Ahad ini.

Rahat Fateh, 43, yang berasal dari Pakistan adalah anak saudara kepada penyanyi Qawwali legenda iaitu Nusrat Fateh Ali Khan.

Konsert The Tribute Tour 2017 akan bermula pada jam 7 malam menyaksikan persembahan Rahat Fateh dalam mengalunkan lagu-lagu Qawwali.

Konsert yang akan berlangsung selama tiga jam itu adalah ‘tribute’ bagi mengenang kembali memori dan kenangan sepanjang pembabitan Nusrat Fateh.

Nusrat Fateh yang digelar ‘The King of Kings of Qawwali’ dilabel sebagai legenda di seluruh dunia sehinggalah dia meninggal dunia di London pada 1997.

Mengenai Rahat Fateh pula, dia mula menyanyi ketika berusia 11 tahun ketika mengikut Nusrat Fateh membuat persembahan di Britain.

Dari situlah bermula karier seni Rahat Fateh sebagai penyanyi Qawwali pada 1985. Rahat juga sering menyanyi solo di pesta Qawwali.

Selain itu, Rahat juga pernah menyumbangkan suara untuk runut bunyi filem Hollywood berjudul Dead Man Walking pada 1995.

Malah, karier seninya terus berkembang apabila turut berpeluang bekerjasama dengan komposer Amerika Syarikat, James Horner menerusi runut bunyi Four Feathers pada 2002.

Lagunya menjadi popular di Bollywood pada 2003 antaranya Laal untuk filem Alaap dan Mann Ki Lagan untuk filem Paap.

Tidak lama selepas itu, lagunya terus mendapat perhatian dan sambutan yang positif sehinggalah mendapat pelbagai pengiktirafan.

Sejak itu bermulalah karier seni Rahat Fateh di Bollywood tanpa henti sehingga dia memenangi anugerah Filem PTC Punjabi pada 2012 dalam kategori Penyanyi Latar Filem Terbaik.

Untuk kategori itu, Rahat Fateh menyanyikan lagu Punjabi berjudul Akhiyan iaitu lagu tema filem Mirza the Untold Story.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 1:24 PM