BELUM terfikir cari pengganti, mahu beri peluang dan masa kepada diri sendiri dulu.
BELUM terfikir cari pengganti, mahu beri peluang dan masa kepada diri sendiri dulu.
Sudirman Mohd Tahir


Pelawak dan penyampai radio Hot FM, Issey mengakui belum terfikir untuk mencari pengganti selepas bercerai tahun lalu.

Menurut Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, 30, kesibukan kerjaya membuatkan dia lupa seketika soal pasangan hidup.

Malah, Issey yang juga pengacara program Mentor Milenia tidak berasa sunyi meski kini hidup bersendirian.

“Ini tahun kedua saya berpuasa dan bakal menyambut Aidilfitri tanpa isteri. Jika tahun lalu kami dalam proses perceraian, alhamdulillah untuk tahun ini saya berasa lebih tenang. Kesibukan kerjaya membuatkan saya lupa semua masalah lalu.

“Kalau nak kata sunyi, tak juga sebab mak tinggal bersama saya. Sekurang-kurangnya, dia ada menemani saya di rumah. Sedikit sebanyak terubat juga luka di hati. Pada masa sama, mak banyak memberi sokongan dan semangat.

“Soal pengganti, nanti dulu. Kalau nak cari pun bukan sekarang. Biarlah tahun ini saya fokus kepada kerjaya,” katanya.

Bagaimanapun, Issey menyasarkan untuk mencari pasangan baru tahun depan atau dua tahun lagi.

“Buat masa sekarang saya tak berkawan dengan sesiapa. Malah, rakan pun tak ada yang cuba memadankan saya dengan mana-mana wanita. Apa boleh dikatakan, saya selesa hidup solo.

“Saya nak beri peluang dan masa kepada diri sendiri dulu. Kalau saya berkahwin dalam keadaan sibuk, tak menarik juga. Jadi mungkin tahun depan atau dua tahun lagi baru boleh fikir soal pasangan,” katanya.

Issey berkata, selepas bercerai, ibu dan keluarganya tidak pernah lagi bersuara mengenai perkara itu sebaliknya menyerahkan segala keputusan kepadanya.

Simpati nasib Ammar

Ditanya mengenai nasib menimpa rakan baiknya Ammar yang juga pengacara program 3 Juara, Issey meluahkan rasa simpati.

“Perkara yang menimpa Ammar sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati dan peka dalam setiap perkara. Pendek kata, perlu sentiasa beringat tak kira dalam apa jua keadaan.

“Sebagai rakan, saya harap dia sabar dan tabah. Saya percaya ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Kalau nak tahu kami masih berhubung. Malah, saya sering memberikannya nasihat,” katanya.

Issey berkata, selepas kejadian itu dia tidak pernah lagi berjumpa atau berpeluang duduk bersembang dengan Ammar.

Pada masa sama, Issey juga tidak dimaklumkan kedudukan sebenar Ammar dalam stesen radio itu.

Perkembangan lain, Issey terbabit dalam beberapa program Syawal terbitan TV3 dan TV9.

Antaranya, program Perang Bibir Raya, JKK Raya dan Mentor Milenia Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 2:31 AM