ISSEY beranikan diri cuba nasib bergelar penerbit.
ISSEY beranikan diri cuba nasib bergelar penerbit.
Norhayati Nordin

SELEPAS hampir sedekad memacu kerjaya dalam industri seni sejak 2012, pastinya pelakon, pelawak, penyanyi, pengacara dan penyampai radio, Issey Fazisham, 34, sudah mampu menarik nafas lega.

Ini kerana segala penat lelah dipertaruhkan dalam kerjaya seni sehingga kini ternyata membuahkan hasil yang besar buat anak jati dari Kota Bharu, Kelantan ini kerana berani mencuba nasib bertindak sebagai penerbit.

Menerusi produksi Red Bean Productions miliknya bersama seorang rakan yang aktif menerbitkan telefilem dan drama sejak 2019, Issey berkata, setakat ini sudah enam produk dikeluarkan oleh syarikatnya.

Menurut pemilik nama sebenar Fazlisham Mat Hussin ini, dia tidak menyangka mampu menggerakkan produksi yang baru ditubuhkan tiga tahun itu lalu dapat melangkah sejauh ini di sebalik pelbagai kekangan akibat pandemik Covid-19.

"Tak dinafikan cabaran menjadi penerbit pada era wabak ini agak besar risikonya. Namun, saya kuatkan hati kena berani mencuba untuk tahu hasilnya kerana selagi tak cuba sendiri, mana nak dapat pengalaman.

"Berhadapan dengan pihak stesen TV untuk cuba mendapatkan slot tayangan bagi produk dihasilkan tidak mudah.Saya perlu ada keyakinan kukuh dalam diri untuk belajar satu persatu selok-beloknya sehinggalah kepercayaan diharapkan itu dimiliki," katanya.

Berbicara juga perihal aktiviti penggambaran yang perlu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana pandemik, Issey berkata, dia tiada masalah mengikut segala peraturan kerana keselamatan nyawa dan kesihatan lebih utama.

"Apabila membabitkan kerja-kerja produksi, ia sudah tentu memerlukan kita bekerja dalam satu kumpulan yang ramai. Jadi, saya kena lebih peka dan betul-betul memastikan semuanya selamat untuk pelakon dan kru di belakang tabir yang terbabit.

"Alhamdulillah, setakat ini kerja-kerja membabitkan produksi saya berjalan lancar dan kami semua bersama-sama menjaga keselamatan bagi memastikan tiada masalah dengan situasi wabak ini. Memang amalan 'Kita Jaga Kita' itu diterapkan.

ISSEY harap semua warga penggiat seni sedia ambil vaksin Covid-19.
ISSEY harap semua warga penggiat seni sedia ambil vaksin Covid-19.

"Selain itu, berhadapan tiga kali pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan juga cabaran besar sebagai penerbit. Banyak urusan penggambaran yang tertangguh dan penyusunan semula jadual kerja harus diatur kembali.

"Jadi, dengan keputusan kelonggaran untuk aktiviti penggambaran oleh kerajaan ini, saya tidak mahu terburu-buru nak memulakan kerja di lokasi. Saya dan rakan kongsi mengambil keputusan 'berehat' dalam tempoh sebulan sebelum kami kembali menjalankan penggambaran," katanya.

Issey berkata, produksinya juga ada menerima dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi merakamkan sebuah karya khas sepatutnya dijalankan pada Jun lalu.

Bagaimanapun, ia terpaksa ditangguh selepas aktiviti penggambaran tidak dibenarkan.

Menurut Issey, apabila kerajaan sudah membenarkan penggambaran sekarang, pihaknya terpaksa memulakan pra-produksi dan membuat tinjauan semula, termasuk jadual pelakon dan kru yang sudah berubah perlu dikemaskini.

Antara karya yang sudah diterbitkan ialah Dia Abang Ku, Rindu Atuk, Perang Dingin, Bangkit dan drama Penghulu Interim yang kini ditayangkan di Awesome TV, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam.

Tolong ikut SOP dan ambil vaksin

Enggan terlepas pandang syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Finas kepada setiap produksi yang memulakan penggambaran, Issey berkata, dia tidak akan berkompromi terhadap pengambilan vaksin oleh pelakon dan kru produksi.

"Sebagai penerbit, saya menerima SOP daripada Finas untuk memulakan penggambaran seperti wajib menjalankan ujian calitan Covid-19 dan keputusan perlu dihantar kepada mereka. Bagi saya, dalam soal ini semua orang kena bertindak jujur.

"Ia bagi mengelakkan berlakunya perkara seperti pihak produksi tidak peka dengan mengambil pelakon dan kru tidak divaksin lagi. Sudah jelas, syarat ini tak akan dilanggar jika kita betul-betul mengikut SOP ditetapkan itu," katanya.

Issey berkata, dalam keadaan pandemik ini janganlah cuba membantah apa yang ditetapkan kerana dibimbangi kerajaan boleh tarik semula kebenaran itu, dan sudahnya memberi kesan buruk kepada warga penggiat seni.

"Jangan nanti disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Saya tidak mahu perkara ini sampai berlaku kerana kita penggiat seni bergantung kepada ada kerja, ada gaji. Lagipun, sebelum ini dah lama pun kita berehat di rumah, tak dapat kerja.

"Saya juga menggesa semua pelakon dan kru produksi yang belum mendapatkan vaksin berusaha memperolehnya. Ia adalah sebahagian daripada ikhtiar kita untuk menangani penularan wabak ini demi kembali bekerja semula," katanya.

Issey berkata, dia sangat berharap warga penggiat seni tanah air dapat mengambil berat soal SOP ini agar tidak menerima padah di kemudian hari.

Katanya, ia untuk keselamatan dan kesihatan kita, keluarga dan semua orang di sekeliling.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 6:00 AM