Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi Hazama meminta maaf bagi pihak Usop yang juga protegenya dalam program Mentor Milenia 2017 kerana enggan memberikan nombor telefon kepada pihak media seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

Hazama, 33, berkata tindakan itu sekadar salah faham kerana dia hanya mengajar Usop agar tidak berbuat sedemikian kepada individu yang tidak berkaitan atau dikenali.

"Usop salah pemahaman. Saya hanya beritahu jangan berikan nombor kepada orang yang tak dikenali bukan dalam kalangan pihak media. Usop jenis yang susah nak faham kalau cakap sekali. 

"Jadi apabila berlaku masalah ini saya faham. Lagi pula dia tak pernah ada pendedahan dan pengelaman dalam industri. Pendek kata dia jenis lurus bendul. Apa orang cakap dia ikut bulat-bulat.

"Justeru, saya tak nak orang salahkan dia. Usop tak bersalah dalam perkara ini. Saya harap beri dia peluang," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini timbul isu yang mendakwa Usop enggan memberikan nombor telefon kepada pihak media yang menemubualnya atas arahan Hazama.

Malah Usop memberitahu pihak media agar mendapatkan nombor telefon pengurusnya menerusi laman Instagram miliknya.

Hazama turut menafikan dia mengajar Usop bersikap bongkak ketika bercakap atau dalam apa sahaja yang dilakukan.

"Apabila berlaku perkara ini ia bukan berpunca daripada saya. Saya sekadar berkongsi apa yang pernah dilalui sebelum ini. Mungkin disebabkan itu dia melakukan perkara sama.

"Seperkara lagi, saya tak pernah mengajar dia untuk menjadi penyanyi yang bongkak. Kalau tak percaya boleh tanya dia sendiri. Malah saya meminta dia untuk jadi lebih merendah diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 10:38 PM