Pengarah Urusan Tautan Lima Sdn Bhd, Abdul Qayyum Hamdan dan Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek bersama buku video Keluarga Sakinah Till Jannah. FOTO Saifullizan Tamadi
Pengarah Urusan Tautan Lima Sdn Bhd, Abdul Qayyum Hamdan dan Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek bersama buku video Keluarga Sakinah Till Jannah. FOTO Saifullizan Tamadi
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tautan Lima Sdn Bhd, syarikat milik penuh Bumiputera mengambil pendekatan menerbitkan dan memasarkan buku video pertama seumpamanya di Malaysia bagi memerangi fenomena cerai yang semakin meningkat setiap tahun.

Pengarah Urusannya, Abdul Qayyum Hamdan berkata, buku video bertajuk 50 Kontroversi Alam Rumahtangga:Keluarga Sakinah Till Jannah itu menggunakan teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) yang boleh diakses pada bila-bila masa dan interaktif.

Katanya, selain dalam bentuk video, ia turut tersedia dalam format e-buku yang mana pengguna boleh menonton, mendengar video dan membaca modul di dalamnya.

"Ilmu yang ada di dalam buku video ini semuanya hasil pengalaman Ustaz Hanafiah Malek sebagai pakar motivasi keluarga.

"Kami tampil dengan buku video kerana tidak ramai golongan hendak membaca, jadi ia disediakan secara video dan audio yang juga boleh diakses dengan mudah kerana menggunakan NFC.

"Kami menyasarkan buku video ini akan terjual kira-kira 100,000 unit tahun ini dan ia dijual pada harga promosi RM89 serta boleh didapati melalui sakinahjannah.com/sales," katanya kepada Bisnes Metro.

Sementara itu, penasihat dan perunding motivasi buku video berkenaan, Hanafiah pula berkata, beliau menyediakan modul untuk mengupas setiap isu permasalahan rumah tangga dan juga cara menanganinya di dalam buku video terbabit.

Menurutnya, terdapat juga tip dan formula yang boleh diguna pakai bagi pasangan untuk memastikan rumah tangga mereka kukuh dan bahagia.

"Mengikut Jabatan Perangkaan, kadar perceraian di negara ini menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada 43,936 kes pada 2021 kepada 62,890 kes pada 2022.

"Saya yakin buku video ini dapat membimbing ramai keluarga di luar sana untuk mencapai kebahagiaan bukan saja di dunia, malah hingga ke syurga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 1:57 PM