MUHAZLI  menunjukkan produk dikeluarkan GTSB ketika ditemui  di Bukit Jelutong. FOTO GENES GULITAH
MUHAZLI menunjukkan produk dikeluarkan GTSB ketika ditemui di Bukit Jelutong. FOTO GENES GULITAH
Sri Ayu Kartika Amri


Shah Alam: Glide Technology Sdn Bhd (GTSB), pengeluar minyak pelincir milik penuh Bumiputera berada di landasan kukuh meluaskan pasaran globalnya termasuk di seluruh Afrika, tahun ini.

Presiden dan Pengasas Glide Group Datuk Muhazli Muhamad berkata, sejak ditubuhkan pada 2007, Glide Technology sudah menembusi pasaran luar negara, antaranya Jepun, Singapura, Brunei, Bangladesh, China, Turki, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Angola.

Katanya, selama hampir 17 tahun di pasaran dan berdepan pelbagai cabaran termasuk kerugian berjuta ringgit akibat banjir besar yang melanda negara pada 2021, pihaknya terus diberi kepercayaan pelanggan dalam dan luar negara kerana mengeluarkan minyak pelincir berteknologi serta berkualiti tinggi.

"Tahun ini, selain bakal meneroka pasaran seluruh Afrika, kami menyasarkan untuk memperoleh pengiktirafan World Class Manufacturing (WCM) dan kini dalam proses mencapainya.

"Dengan diiktiraf sebagai WCM, itu akan menjadi 'tiket' kepada syarikat meluaskan pasaran di negara Eropah dan kami juga akan membina kilang kedua terbesar di Angola, melalui kerjasama dengan syarikat di sana," katanya.

Menurutnya, GTSB juga di bawah naungan syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia, Petronas dan selain mengeluarkan minyak pelincir, pihaknya turut mengembangkan perniagaan ke sektor lain seperti marin, tenaga dan minyak alat ubah (transformer oil).

Muhazli berkata, syarikat menyasarkan untuk mengeluarkan 20 juta liter atau 20,000 metrik tan minyak menjelang akhir tahun ini disumbangkan oleh pasaran eksport di luar negara terutama Afrika.

Beliau berkata, selain itu GTSB merancang mengukuhkan jenama Glide Lubricant di pasaran tempatan serta membuka peluang kepada pengedar yang berminat membawa jenama itu ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 11:34 AM